[PARLIMEN] Import ayam beku dari China dan Thailand hanya sementara - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Import ayam beku dari China dan Thailand hanya sementara

RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pengimportan ayam beku dari luar negara adalah selamat dan halal.

Jaminan itu disebut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dengan berkata, status halal itu dibuat oleh jawatankuasa yang turut diiktiraf tiga agensi iaitu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan.

“Ketika ini, sebanyak sembilan buah loji di Thailand dan dua loji di China diiktiraf sebagai rumah sembelih di luar negara, ia bukan kali pertama dan kita mengimport dari sembilan loji Thailand dan dipantau oleh jawatankuasa tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Datuk Fasiah Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) meminta kerajaan menjelaskan mengenai setakat manakah kekurangan bekalan ayam yang dialami dalam pasaran sekarang dan setakat manakah langkah membenarkan pegimportan ayam sejuk beku dari luar negara akan dapat mengatasi dan menyelesaikan masalah kekurangan bekalan ayam ini.

Mengulas lanjut, Ronald turut berkata, pengimportan ayam merupakan langkah sementara bagi menampung kekurangan bekalan ayam di negara ini .

Untuk itu jelasnya lagi, kementerian akan terus memantau pelan ayam pasaran tempatan dan sebaik sahaja ia kembali stabil, usaha pengimportan ini akan diberhentikan.

Pada masa sama, Ronald menjelaskan  pihaknya kini sedang menggubal dasar untuk mengurangkan kadar kebergantungan makanan ayam dari luar negara seperti jagung dan bijian.

“Langkah berterusan sedang dibuat kerajaan. Kita akan melihat tindakan yang perlu diambil oleh pihak kementerian bagi mengurangkan kebergantungan makanan ternakan yang diimport dari luar seperti penanaman jagung, penyelidikan dengan institusi lain mengikut apa yang digariskan,” ujarnya.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan mengimport ayam bulat sejuk beku bagi tempoh tiga bulan bermula bulan ini hingga Februari 2022 bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran melibatkan pertimbangan import hingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya