Operasi SMARD Kuala Langat tahan 55 individu kes dadah, ketum - Utusan Malaysia

Operasi SMARD Kuala Langat tahan 55 individu kes dadah, ketum

BEBERAPA suspek diberkas dalam operasi SMARD yang dijalankan oleh Pegawai AADK Selangor bersama dengan beberapa agensi penguatkuasa di daerah Kuala Langat termasuk polis di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Seramai 55 individu termasuk empat warga asing ditahan dalam Operasi Selangor Mengawal Ancaman Realiti Dadah (SMARD) siri dua di sekitar daerah ini petang tadi.

Operasi melibatkan 13 kawasan berisiko tinggi termasuk di Mukim Telok Panglima Garang, Tanjung 12 dan Jugra sehingga pukul 2 petang itu turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk heroin seberat 70 gram (g), syabu (0.4 g), ganja (20 g), candu, air ketum (3.4 liter) dan daun ketum (4.8 kilogram).

Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd. Jusni Hashim dalam kenyataan akhbarnya berkata, operasi yang dilaksanakan melalui kerjasama jabatan penguatkuasaan dalam daerah Kuala Langat seperti daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Agama Islam Daerah dan Majlis Perbandaran Kuala Langat itu melibatkan seramai 40 orang anggota.

“Melalui dua siri operasi yang dijalankan sehingga pukul 2 petang tadi, seramai 50 orang didapati positif dadah manakala enam lagi negatif dengan pecahan dadah jenis syabu seramai 23 orang, candu (18), syabu dan candu (lapan), ganja (satu).

“Jumlah tangkapan adalah seramai 55 orang termasuk lima lagi kerana memiliki air dan daun ketum serta empat orang warga asing bagi kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurut Mohd. Jusni, operasi SMARD mensasarkan sarang penagihan yang telah dikenalpasti selain mengesan orang yang disyaki melalui aduan awam dan risikan jabatan penguatkuasaan dalam daerah Kuala Langat.

Ujarnya, objektif operasi ini adalah bagi membanteras dan mengambil tindakan terhadap aktiviti penagihan dan pengedaran dadah di kawasan dikenalpasti di samping membersihkan lokasi tumpuan  yang menjadi sarang penagihan dadah.

“Kesemua yang ditahan berumur lingkungan 19 hingga 40 tahun seramai 34 orang, 40 hingga 50 tahun (7) dan 51 tahun ke atas (9).

“Kesemua suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) Akta sama, Seksyen 12(2) Akta sama dan Seksyen 30(3) Akta Racun,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN