GEORGETOWN: Selepas hampir 21 bulan tidak dapat beroperasi akibat pandemik Covid-19, perkhidmatan kapal layar (cruise) dari Terminal Swettenham Pier Cruise di sini kembali beroperasi pada 22 Disember ini.
Pelayaran pertama pasca pandemik itu melibatkan kapal persiaran Star Pisces yang dikendalikan Genting Cruise Lines dari Pulau Pinang ke Pulau Langkawi dan ke Selat Melaka.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, pihaknya mengalu-alukan kebenaran semula perkhidmatan pelayaran itu oleh kerajaan yang secara tidak langsung bakal merancakkan semula sektor pelancongan domestik khususnya di Pulau Pinang.
Menurut beliau, kebenaran itu juga bakal memberi impak rantaian kepada sektor-sektor lain khususnya berkaitan pelancongan selain menyumbang kepada kerancakan ekonomi.
“Sektor pelancongan pelayaran ini kehilangan sepenuhnya penumpang sejak terpaksa ditutup akibat Covid-19 pada Mac tahun lalu.
“Sedangkan pada 2019, sektor ini mencatatkan kira-kira 1.5 juta penumpang daripada sebanyak 20 kapal pelayaran yang beroperasi dari Terminal Swettenham Pier Cruise ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung pengoperasian semula perkhidmatan kapal pelayaran itu yang turut dihadiri Timbalan Presiden Bahagian Jualan Genting Cruise Lines, Cynthia Lee.
Sementara itu Cynthia berkata, buat permulaan syarikat itu menyediakan lima perjalanan setiap minggu dari Pulau Pinang menerusi pakej tiga hari dua malam ke Langkawi, Kedah pada harga RM399 dan satu malam ke Selat Melaka pada harga RM199 bermula 22 Disember ini.
Tambah beliau, lebih banyak pilihan pelayaran juga akan disediakan sempena percutian semasa cuti sekolah, cuti akhir tahun dan cuti perayaan Krismas akan datang.
Bagi mematuhi SOP seperti ditetapkan kerajaan juta katanya, kapal pelayaran Star Pisces itu juga akan beroperasi dengan had penumpang hanya 50 peratus iaitu lebih 850 penumpang tidak termasuk kru antara 400 hingga 500 orang.
“Star Pisces akan beroperasi dengan had penumpang sebanyak 50 peratus iaitu lebih 850 penumpang tidak termasuk kru iaitu kira-kira 400 hingga 500 orang,
“Kami juga mengambil pelbagai langkah kawalan pencegahan yang dipertingkatkan selaras keperluan tempatan dan piawaian antarabangsa.
“Setiap individu di atas kapal pelayaran hendaklah lengkap vaksinasi dan penumpang yang ingin memulakan perjalanan haru membuat Antigen Rapid Test (ART) sebelum menaiki kapal yang mana dijalankan di SPCT bagi memastikan keselamatan penumpang serta kru yang lain di atas kapal,” katanya.
Tambahnya, tempahan bagi pelayaran itu boleh dibuat bermula pertengahan bulan ini dan maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh dengan melayari www.starcruises.com/my/eng. -UTUSAN ONLINE










