PETALING JAYA: Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mempertahankan terhadap tindakan beliau yang memakai tudung ketika berada di sebuah masjid kerana mempunyai sikap hormatnya terhadap kepercayaan agama Islam.
Menurut beliau, perbuatan menutupi kepala di hadapan mereka dihormati adalah sebagai tanda hormat kepada mereka di samping itu juga, ia adalah adab kesopanan.
“Perbuatan ini juga diamalkan apabila kita menziarahi kematian. Sepanjang saya menjadi wakil rakyat selama 13 tahun di kawasan berbilang kaum dan agama seperti di Segambut dan Subang Jaya, saya sentiasa penghormatan seperti ini semasa saya turun ke kawasan saya.
“Saya akan terus melakukannya walaupun berhadapan dengan segelintir suara yang melampau di tanah air sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyelar tindakan seorang pemimpin DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau kerana mengkritik tindakan Ahli Parlimen Segambut memakai selendang di dalam masjid.
Cheng Hau dilaporkan tidak berpuas hati dengan tindakan Hannah berselendang ketika lawatan ke satu masjid di Kuala Lumpur, minggu lalu.
Dalam pada itu, Hannah menambah, tindakan menutup kepala di dalam masjid tidak akan mengubah bangsa dan agama beliau sendiri.
Menurut beliau, semua pihak perlu mempertahankan dan berjuang untuk Malaysia yang mengamalkan corak pendekatan sederhana dan negara ini bukan untuknya seorang sahaja, tetapi untuk orang lain.
“Hormati mereka di sekeliling anda dan terapkan nilai kebaikan ini kepada jiran-jiran anda. Sikap mementingkan diri sendiri hanyalah resipi bencana yang lebih besar.
“Sampaikan suara rakyat Malaysia yang sederhana supaya ianya bergema kuat di tempat kerja, kawasan kejiranan, ketika pertemuaan bersama keluarga, tempat ibadat dan melalui media sosial kita.
“Saya akan terus memakai selendang dengan sewajarnya,” katanya.










