MELAKA: Polis Melaka meningkatkan kawalan pintu sempadan selepas seorang penjenayah dikehendaki dikenali sebagai ‘Long Tiger’ lolos dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor hari ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, pihaknya juga telah menubuhkan satu pasukan Team Pantas bagi membantu kontinjen Johor mengesan Long Tiger.
“Kita memang dapat maklumat Long Tiger itu telah melarikan diri dan kita akan tingkatkan risikan dan pencegahan di sempadan negeri.
“Team Pantas di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri sedang membuat risikan sekiranya terdapat pergerakan etnik Rohingya itu merentas masuk ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kami Prihatin anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di Taman Seri Duyong, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah JPNIN negeri, Intan Suhana Yusof dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Hedzir Hussin.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang lelaki berketurunan Rohingya dipanggil Long Tiger kini diburu polis selepas melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd. Fadhil Minhat berkata, suspek bernama Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, itu meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah pada pukul 11.55 pagi sebelum perbicaraan bermula.