KUALA SELANGOR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mahu agensi yang terlibat dalam mengeluarkan sijil halal untuk melakukannya dalam tempoh segera bagi membantu para usahawan.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya kerap menerima aduan mengenai sijil halal lambat dikeluarkan malah ada yang terpaksa menunggu hingga tempoh setahun sedangkan permohonan mereka sudah lulus.
Katanya, pihak kementerian di bawah Program Pembangunan Keusahawanan Halal turut memperkenalkan banyak program melibatkan halal seperti Halal Outreach Programme For Entrepreneurs, Halal Technology Transformation Programme dan banyak lagi.
Bagaimanapun tambahnya, para usahawan masih berhadapan masalah untuk mendapatkan sijil halal sekali gus merencatkan aktiviti perniagaan mereka.
“Sijil halal bukan main susah hendak dapat. Usahawan minta tolong sijil halal lima hingga enam bulan tidak dapat lagi.
“Kelulusan sudah ada tetapi sijil tidak dapat lagi. Saya tidak mahu tuduh mana-mana agensi tetapi saya hendak minta sijil halal dipercepatkan. Kita mahu bantu usahawan tetapi mengapa lambat,” katanya ketika berucap merasmikan kilang syarikat Aducktive Food Sdn. Bhd. di Kota Puteri, Ijok di sini hari ini.
Aducktive Food merupakan salah satu syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang dibimbing MEDAC di bawah Halal Technology Transformation Programme yang dilaksanakan oleh SME Corp Malaysia.
Syarikat tersebut terlibat dalam pengeluaran produk kudapan yang diperbuat daripada kepingan emping jagung bersalut pelbagai perisa.
Dalam perkembangan berasingan, Noh memberitahu, MEDAC menerusi agensi terlibat akan melaksanakan konsep sewa beli kilang dalam usaha membantu menambah bilangan usahawan Bumiputera sekaligus memperbanyakkan aset-aset usahawan Bumiputera.
“Apabila kita menumpang atau menyewa, apabila habis tempoh sewa dan kilang itu akan dijual, kita kena keluar dan mencari modal lain. Bayang apa nasib kita.
“Saya sejak jadi Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) terus memperkenalkan konsep sewa beli. Saya akan perkemaskan balik dengan PNB dan Bank Rakyat,” katanya.
Menurut Noh, para usahawan yang meniaga tiga tahun ke atas dan mempunyai rekod perniagaan yang baik akan diberi keutamaan selain persetujuan daripada tuan tanah untuk menjual harta tersebut.
“Agensi Bank Rakyat atau PNB akan beli kilang atau kedai dan sewa bulanan dibayar oleh usahawan sehingga akhirnya akan jadi hak milik mereka sendiri.
“Ada syaratnya sebagai contoh kilang itu sudah dua tahun dan ada bukti ia mengeluarkan banyak duit untuk pengubahsuaian dan sebagainya. Jika usahawan ini sanggup beli kilang itu, kita akan teruskan,” jelasnya.