SHAH ALAM: Peka dengan dunia yang pesat melangkah ke arah digitalisasi, Fakulti
Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) melalui Pusat Pengajian Media Massa menganjurkan #McLIVE 5.0 dan melancarkan laman sesawang The Comm di CMT Hub, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Inisiatif oleh Pusat Pengajian Media Massa ini menyahut hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi meningkatkan keupayaan digitalisasi dalam kampus selari dengan era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) menerusi penekanan elemen seperti Internet Segala Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).
Melalui program #McLIVE 5.0 yang bakal dijalankan selama seminggu sehingga 18 Disember ini, tiga program iaitu Kewartawanan, Penyiaran dan Penerbitan di bawah Pusat Pengajian Media Massa telah menganjurkan pelbagai aktiviti yang mengupas tema Menghadapi Cabaran Pembelajaran Secara Terbuka dan Jarak Jauh.
#McLIVE 5.0 anjuran Pusat Pengajian Media Massa dijalankan dengan kerjasama rakan strategik Hab Media Kreatif dan Teknologi dan Al Jazeera Media Network.
Fakulti juga telah menunjukan komitmen dalam hubungan dua hala yang erat bersama rangkaian media Al Jazeera dengan penganjuran bengkel dan latihan bersama Al Jazeera sempena usaha sama antara fakulti bersama rangkaian media berkenaan setelah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) rasmi pada 7 Oktober 2019.
Ahli Lembaga Pengarah UiTM yang juga Pengerusi UiTM Technoventure, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, pada zaman digital ini, perlu ada keberanian dalam mencabar status quo, membuat perubahan minda, melakukan anjakan paradigma, berfikir di luar kotak serta berkongsi sumber dan kepakaran.
“Melangkah ke hadapan, proses digitalisasi itu sewajarnya dilakukan dan disebar luas kerana manfaatnya bukan sahaja kepada keseluruhan warga fakulti, malahan kepada masyarakat setempat juga.
“Saya yakin hala tuju fakulti akan berfokus kepada inisiatif membangunkan prasarana digital ilmiah serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang mampu menjadi rujukan bukan sahaja pelajar, tetapi juga untuk komuniti global,” katanya ketika berucap merasmikan program #McLIVE 5.0 semalam.
Sementara itu, Dekan FKPM, Prof. Madya Massila Hamzah memberitahu, langkah digitalisasi ini dilakukan dengan lebih agresif apabila fakulti sedang menghampiri lima dekad penubuhannya.
Ujarnya, beliau merasa amat bertuah dan bersyukur kerana fakulti telah berjaya mengharungi pelbagai halangan dan rintangan selama hampir 49 tahun penubuhannya dan kejayaan itu merupakan hasil usaha pelbagai pihak.
“Pengiktirafan yang telah diterima oleh fakulti lebih daripada empat dekad ini membuktikan bahawa kita mampu terkehadapan dan mendahului dalam sesuatu bidang tetapi, kita tidak boleh selesa dengan pencapaian silam.
“Kini, fakulti perlu mengorak langkah untuk membantu universiti menjadi universiti global terkemuka. Fakulti bersedia untuk bergerak selari dengan agenda transformasi UiTM dengan berpaksikan Pelan Strategik UiTM 2025.
“Kami akan lebih agresif dalam memperluas jaringan kerjasama di peringkat global. Ini jelas terbukti dalam program #McLIVE 5.0, dengan penglibatan Al Jazeera Media Network,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










