SEREMBAN: Jangan ke Negeri Sembilan jika mahu berlagak sebagai polis dan menahan kenderaan sesuka hati.
Demikian tegas Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop kepada individu tertentu terutama penunggang motosikal berkuasa besar yang menggunakan marsyal untuk berkonvoi bagi memberi laluan kepada mereka.
“Kalau kita tengok baru-baru ini ada dua kes marsyal dikesan oleh polis dan kedua-duanya berlaku di daerah Port Dickson. Perkara ini kita sudah uar-uarkan di media yang mana penunggang motosikal berkuasa tinggi sebenarnya tidak dibenarkan menjadi marsyal.
“Mereka tidak dibenarkan menahan, melecong dan menghalang apa juga kenderaan di atas jalan raya sebab mereka tidak ada kuasa itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis masih mengesan individu yang bertindak sebagai marsyal seperti dalam video tular di Facebook dipercayai berlaku di Jalan Tanjung Agas, Pasir Panjang di Port Dickson.
“Seperti yang kami kesan sebelum ini, jadi kejadian yang terbaharu ini insya- Allah kita akan dapat kesan. Apa pun kami harap pihak yang terbabit dapat tampil.
“Ini bukan kes besar, kes trafik sahaja. Jangan sampai polis kesan, datang kepada polis dan kami akan siasat serta kenakan tindakan tertentu,” katanya.
Beliau turut menyeru semua masyarakat terutama penunggang motosikal berkuasa tinggi yang datang ke Negeri Sembilan supaya tidak menggunakan khidmat marsyal yang seolah-olah berlagak sebagai polis.
“Ada ketua kumpulan tiada masalah, tetapi jangan tahan di lampu isyarat, jangan lencongkan kenderaan serta ambil tugas polis,” katanya. – UTUSAN ONLINE










