PUTRAJAYA: Kerajaan dicadangkan untuk memansuhkan monopoli permit import sebagai satu inisiatif besar bagi menangani punca kenaikan harga barang pada masa ini.
Ahli Dewan Negara, Datuk Hisamudin Yahaya berkata, semua permit import bahan mentah makanan harus dibuka secara bebas kepada umum yang berkelayakan agar persaingan sihat berlaku.
Beliau menjelaskan, apabila kerajaan memberi banyak pilihan kepada pemegang permit import, maka mereka akan bersaing sesama sendiri, dan persaingan yang sihat itu akan menguntungkan rakyat, khususnya dalam tawaran harga yang rendah.
“Dalam pembukaan semula ekonomi ini terdapat pihak yang mengambil kesempatan. Ia seolah-olah membalas dendam akibat tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang terlalu lama.
“Apakah punca kenaikan harga ini? Adakah kerana petani di ladang menaikkan harga? Adakah orang tengah yang mengambil kesempatan untuk keuntungan lebih besar atau peniaga sendiri yang menaikkan harga sewenang-senangnya?” soalnya ketika membahaskan Bajet 2022 dalam Persidangan Dewan Negara hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pasca pandemik Covid-19 semestinya memerlukan satu tempoh masa untuk membina semula sosio-ekonomi masyarakat di sekitar Kuala Lumpur dan penjaja kecil di ibu kota berdepan dengan masalah modal pusingan untuk kelangsungan perniagaan mereka.
Dalam hal itu, katanya, mereka tidak harus terjerat dengan hutang Ah Long atau mana-mana institusi kewangan yang tidak sah, serta menyalahi undang undang negara.
Menurut beliau, sebanyak 4,286 jumlah lesen penjaja dikeluarkan di Kuala Lumpur bagi zon bebas berniaga ketika musim pandemik sehingga Jun lalu, namun sebenarnya jumlah lesen berniaga penjaja kecil di Kuala Lumpur yang diluluskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah sekitar 42,000.
Ini bermakna, katanya, ramai penjaja kecil sangat memerlukan bantuan kerajaan, justeru satu dana khusus dicadangkan untuk penjaja di Kuala Lumpur melalui Yayasan Wilayah Persekutuan dengan Kerjasama DBKL ditubuhkan.
“Apa salahnya jika dalam 1 peratus daripada hasil kutipan DBKL disumbangkan kepada Yayasan Wilayah Persekutuan. Seterusnya wang tersebut akan dimanfaatkan sebagai tabung dana penjaja kecil ibu kota Kuala Lumpur.
“Jika dicongak secara matematik, satu peratus daripada RM2.56 bilion setahun hasil pendapatan DBKL, maka tabung ini akan berjumlah RM25.6 juta dapat disumbangkan sebagai dana pinjaman kepada penjaja kecil di Kuala Lumpur, melalui Yayasan Wilayah Persekutuan,” katanya.
Bagi peniaga pasar malam pula, beliau mencadangkan agar golongan ini tidak perlu dikenakan sebarang lesen dan hanya perlu membayar RM2 untuk pendaftaran di DBKL demi menggalakkan lagi penyertaan rakyat untuk berniaga di pasar malam. -UTUSAN ONLINE










