Malaysia jana lebih RM33.9 bilion pulangan pelaburan Expo 2020 Dubai - Utusan Malaysia

Malaysia jana lebih RM33.9 bilion pulangan pelaburan Expo 2020 Dubai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia berjaya menjana lebih RM33.9 bilion potensi pulangan perdagangan dan pelaburan dalam tempoh lapan minggu pertama penyertaan di Expo 2020 Dubai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu berjaya melepasi sasaran asal iaitu RM10 bilion menerusi sejumlah 43 memorandum persefahaman, memorandum kerjasama dan surat niat serta 602 petunjuk perniagaan dengan beberapa syarikat antarabangsa.

Menurut beliau, pencapaian itu disumbang menerusi usahasama rentas kementerian melibatkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama agensi-agensi di bawah kementerian-kementerian berkenaan serta syarikat swasta.

“Bagi memastikan pencapaian dan sinergi yang lebih padu, penyertaan rentas kementerian ini diselaraskan menerusi sub-tema Pavilion Malaysia iaitu pengkomersialan teknologi tempatan, membangunkan ekosistem startup yang mampan, inovasi teknologi hijau dan daya tahan iklim.

“(Ini termasuk) infrastruktur lestari, bandar pintar dan rendah karbon, kewangan mampan serta industri halal dan pembuatan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, dengan perkembangan positif ini, kerajaan yakin penyertaan Malaysia dalam Expo 2020 Dubai akan menghasilkan impak yang lebih luas lagi. 

Kata beliau, ia juga membuktikan bahawa syarikat dan teknologi Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa dan berjaya menarik pelaburan serta minat daripada pelbagai rakan strategik.

Jelasnya, momentum ini dijangka berterusan untuk 18 minggu akan datang dengan usaha gigih pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri. 

“Tahniah kepada MOSTI kerana menerajui penyertaan Malaysia dalam Expo 2020 Dubai, bersama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sebagai agensi pelaksana,” katanya. 

Perdana Menteri berkata, Pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai yang direka bentuk dengan konsep kanopi hutan hujan tropika bertemakan Energising Sustainability merekodkan kunjungan lebih 330,000 pelawat sehingga semalam.

Kata beliau, lawatan peringkat tertinggi ke Pavilion Malaysia termasuk menerima tetamu kehormat dari Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), India, Kemboja, Kuwait, Republik Guinea, Rusia, United Kingdom, serta Dewan Perniagaan Sharjah. –  UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya