KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) didaftarkan sebagai parti politik dalam tempoh 14 hari dan membayar kos Guaman sebanyak RM10,000.
Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Syed Abdul Rahman berkata, keputusan itu bukan semata berpihak kepada Muda semata-semata, tetapi kepada sistem demokrasi negara.
Katanya, ini kerana Muda kini mempunyai tempat untuk menyuarakan pendapat, kritikan dan cadangan untuk membangunkan negara tercinta.
“Hari ini hari yang penuh beremosi kerana tahun ini adalah tahun yang penuh rintangan dan cabaran tetapi melalui keputusan ini, kami ada iltizam dan semangat untuk berjuang demi negara tercinta selepas setahun setengah melalui cabaran serta ugutan (dalam mendaftarkan Muda).
“Keputusan hari ini bukan ingin memusnahkan Malaysia, tetapi membangunkan negara, memperkasa politik khidmat, mengangkat suara anak muda dan membina negara seperti sebuah rumah yang mewakili seluruh rakyat Malaysia.
“Perjalanan kami bermula hari ini dan kita akan buktikan pada rakyat bahawa kami ada untuk bekerja buat mereka,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Muda sebelum ini mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menolak rayuan kumpulan itu untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik. – UTUSAN ONLINE