Lingga, kamek datang mahu bantu - Dayang Noorazah - Utusan Malaysia

Lingga, kamek datang mahu bantu – Dayang Noorazah

DAYANG NOORAZAH AWANG SOHOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Usaha untuk memastikan golongan belia di negeri ini khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga keluar daripada masalah kewangan antara fokus utama untuk calon termuda daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dayang Noorazah Awang Sohor, 33, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12. 

Dia yang pertama kali dicalonkan bertanding di kawasan berkenaan percaya usaha sedemikian sekaligus dapat membantu golongan belia dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading menyedari masih ramai dalam kalangan penduduk di situ tidak berpeluang meneruskan pelajaran akibat masalah kewangan. 

“Apa yang saya mahu bawakan untuk penduduk di sini ialah membantu mereka macam mana untuk keluar daripada kancah kekurangan wang.

“Inilah perkara utama yang akan saya lakukan untuk golongan belia, rata-rata mereka hilang pekerjaan, jadi inilah yang kita harus lakukan dahulu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini semalam.

Dayang Noorazah adalah calon wanita paling muda bagi mewakili GPS dalam merebut kerusi di Lingga. Kawasan itu sebelum ini disandang oleh Datuk Simoi Peri selama tiga penggal sejak 2006.

Lingga merupakan kampung di pedalaman dalam bahagian Sri Aman dengan majoriti penduduknya terdiri daripada masyarakat Islam dan lebih 50 peratus adalah etnik Iban. 

Rekod statistik umur terbaharu daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencatatkan 783 atau 8.17 peratus pemilih berumur 21 hingga 29 tahun dan 1,863 atau 19.45 pemilih berumur 30 hingga 39 tahun dan seramai 9,578 pemilih berada di kawasan itu. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN