KUCHING: Presiden Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Lina Soo, mengalami kecederaan selepas terperosok ke lubang di laluan pejalan kaki semasa meletakkan bendera kempen partinya di sepanjang Jalan Tabuan di sini, malam tadi.
Menerusi hantaran di Facebooknya hari ini, Soo memberitahu pahanya lebam kebiruan, kulitnya melecet dan berasa tegang di bahagian perut kanannya selepas insiden luar jangka itu.

“Saya terpaksa ditarik keluar oleh pekerja saya. Terdapat jurang yang besar di seluruh penutup lurang yang tidak dibaiki dan lurang yang lain juga dalam keadaan rosak kerana besi lama dan berkarat.
“Keadaan ini sangat bahaya bagi pejalan kaki di kaki lama, bukan sahaja menyebabkan kecederaan malah kematian terutama jika orang tua yang terjatuh ke dalamnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Soo menggesa supaya Datuk Bandar Kuching dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperbaiki semua lurang di bandar ini sebagai keutamaan memandangkan ia bahaya untuk orang awam.
“Saya sudah menghabiskan masa sepanjang malam meletakkan bendera sejak kempen pilihan raya berlangsung, dan mungkin saya sahaja calon yang berbuat demikian.
“Saya akan mendapatkan rawatan jika keadaan semakin teruk, tetapi, akan meneruskan kempen kerana masa sudah tidak banyak menuju ke hari mengundi Sabtu ini,” katanya.
Soo merupakan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan mewakili partinya, berdepan tiga calon lain iaitu Wee Hong Seng yang juga Datuk Bandar Kuching (Gabungan Parti Sarawak-SUPP), Chong Chieng Jen (DAP) dan Raymond Thong (Parti Bumi Kenyalang).
Soo sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas membawa propaganda menggunakan papan iklan memaparkan sebilah gunting tanda simbolik ‘pisahkan Sarawak dari Malaysia’ namun telah diturunkan selepas diarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – UTUSAN ONLINE