KUALA TERENGGANU: Lebih 1,214 hektar tanah milik kerajaan di Setiu diteroka secara haram sejak kira-kira 15 tahun lalu dengan sebahagian besarnya melibatkan aktiviti penanaman kelapa sawit.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, walaupun inisiatif penyelesaian sudah digerakkan bermula 2018, namun berdepan laluan sukar berikutan timbul pelbagai isu.
Katanya, isu itu termasuk tanah yang diteroka terlalu luas, usia tanaman kelapa sawit kira-kira 10 tahun di samping kerjasama peneroka.
“Kerajaan negeri telah menyediakan pelan penyelesaian bagi merungkai isu lapuk ini, malah saya tiada masalah untuk berdepan atau berbincang secara baik dan harmoni dengan peneroka.
“Kita tidak bercakap dalam topik penguatkuasaan atau pendakwaan, tetapi bagaimana ruang peraturan dan undang-undang sedia ada boleh dimanfaatkan untuk membuka jalan supaya yang haram boleh dihalalkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azman berkata, penyelesaian isu itu bakal membolehkan kedua-dua pihak mendapat manfaat kerana rakyat boleh terus mencari rezeki manakala kerajaan negeri sebagai tuan tanah pula mendapat hak yang sepatutnya.
Katanya, pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) berkuatkuasa tahun depan sekali gus mampu menarik peneroka haram untuk menyelesaikan isu tanah berkenaan. – UTUSAN ONLINE