PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggali semula kubur pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang ditemukan meninggal dunia di sekolahnya bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.
Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, langkah itu bertujuan memastikan PDRM mendapat maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kematian Zara Qairina.
Keputusan yang disambut baik oleh peguam keluarga Zara Qairina itu dibuat setelah AGC meneliti laporan penuh siasatan awal yang dikemukakan PDRM berhubung kes berkenaan.
“Jabatan ini berpendapat terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh,” demikian menurut kenyataan itu semalam.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah pada pukul 4 pagi, 16 Julai lalu.
Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada pukul 11 pagi, 17 Julai lalu dan kes kematian pelajar berkenaan tular serta menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat di media sosial.
Isnin lalu, AGC memaklumkan pihaknya telah menerima laporan penuh siasatan awal berhubung kes itu pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.
Sementara itu. dua peguam, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili Ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat merakamkan penghargaan kepada AGC kerana bersetuju menggali semula kubur Allahyarham Zara bagi tujuan bedah siasat.
Menurut mereka, langkah itu diharap dapat memberikan maklumat baharu kepada polis dalam menyiasat punca kematian mangsa.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara kerana bersetuju untuk menggali semula kubur arwah Zara bagi tujuan melakukan bedah siasat.
“Saya berharap tindakan ini akan memberi maklumat baharu kepada pihak polis dalam menyiasat kes kematian arwah Zara.
“Saya juga berharap permohonan untuk menggali kubur dilakukan dengan kadar segera dan inkues diadakan bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan kematian Zara Qairina yang dikaitkan dengan dakwaan buli kepada AGC.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun turut dilaporkan telah memaklumkan kertas siasatan dibawa ke Bukit Aman untuk perhatian dan penelitian akhir sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.
Jauteh turut dilaporkan berkata, seramai 60 individu termasuk tiga nama didedahkan di media sosial, iaitu ‘Kak Wana, Kak Dedeng dan ‘tomboi’ telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kematian Zara Qairina.
Menurut laporan, pegawai polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kejadian tersebut dan turut menyatakan siasatan menjurus kepada dua elemen iaitu punca kepada kematian dan juga persekitaran.
Kes kematian Zara Qairina mendapat perhatian ramai selepas ibunya mendakwa terdapat kemusykilan berhubung kematian anaknya itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut kesal dengan kes tersebut memberi jaminan tidak ada sebarang perlindungan diberikan kepada mana-mana pihak terbabit atau pelaku dalam kes tersebut.
Katanya, kematian bukan suatu perkara yang dipandang ringan dan justeru itu, beliau menegaskan siasatan mendalam harus dilaksanakan oleh pihak berkuasa yang berkaitan dengan kadar segera. – UTUSAN










