KPDNHEP Johor gerak 200 anggota pantau kenaikan harga sayur - Utusan Malaysia

KPDNHEP Johor gerak 200 anggota pantau kenaikan harga sayur

ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Johor turut membuat pemeriksaan di kebun sayur bagi menangani isu kenaikan harga bekalan itu di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengerahkan seramai 200 anggota penguat kuasa untuk memeriksa dan memantau bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan meningkatkan harga barangan jualan mereka.

Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, pemantauan berterusan itu dibuat bagi memantau barangan keperluan harian seperti sayur, ayam dan telur.

Menurut beliau, sejak 20 November lalu, sebanyak 21 notis dikeluarkan kepada peruncit, 11 kepada pemborong dan tiga kepada pekebun kerana menjual dengan harga lebih tinggi.

“Semenjak tular isu berhubung kenaikan harga sayur baru-baru ini, KPDNHEP Johor telah mengambil tindakan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kepada peniaga sayuran seluruh Johor.

“Pemeriksaan serta pemantauan dibuat di setiap peringkat pembekalan barangan terdiri daripada peruncit (pasar basah, pasar awam dan pasaraya) dan pembekal (pemborong, peladang, pengeluar, pengimport),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu kata Mohd. Hairul, sejak Januari hingga kelmarin, sejumlah 83 notis telah dikeluarkan kepada peniaga sayur bagi tujuan siasatan untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

“Sebanyak 7,603 premis telah diperiksa meliputi 5,954 peruncit; 1,198 pemborong dan 451 pengilang di seluruh Johor,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga mengambil inisiatif dan tindakan proaktif dengan membuat pemeriksaan terhadap bekalan barang keperluan asas lain seperti gula, minyak masak, tepung gandum, telur, roti dan beras.

“Hasil pemantauan, bekalan barang keperluan berkenaan adalah mencukupi dan mudah diperoleh di semua peringkat pengilang, pemborong dan peruncit,” katanya.

Tambah beliau, pengguna di Johor boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku peniaga kepada kementerian melalui talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC); call centre 1800-886-800; Enforcement Command Centre (ECC) 03- 8882 6245/6088.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya