KLANG: Seorang lelaki yang juga ketua ‘Geng Dubuk’ dikesan masih tidak serik melakukan samun dan ragut biarpun pernah menjalani hukuman mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sebelum ini.
Selain dikenakan tindakan atas jenayah itu pada 2017, suspek berusia 40-an turut berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun.
Namun, lelaki berkenaan masih bergiat aktif menyamun dan meragut bersama tiga rakannya di sekitar daerah ini sejak enam bulan lalu sebelum kegiatannya itu berjaya ditumpaskan selepas polis memberkas keempat-empat suspek berusia 20 hingga 40an itu di sekitar Klang pada 9 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penahanan dilakukan hasil maklumat kes samun seorang lelaki berusia 55 tahun di sekitar Palm Grove di sini, pada 25 September lalu.
Katanya, kejadian pukul 3.45 petang itu berlaku selepas mangsa didatangi dua lelaki menaiki motosikal yang bertindak meragut beg sandangnya.
“Hasil risikan dan siasatan kemudian membawa kepada penahanan empat suspek termasuk ketua kumpulan dikenali Geng Dubuk. Kita turut berjaya merampas sebuah motosikal dan empat telefon bimbit dipercayai hasil jenayah mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, hari ini.
Jelas Hoong Fong, semakan pihaknya kesemua suspek memiliki rekod jenayah lampau termasuk dadah.
“Mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti pembabitan mereka dalam kes lain dan mengesan barang kes berkaitan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, geng berkenaan disyaki terlibat dalam 20 kes samun dan ragut di sekitar kawasan Klang Selatan.
“Suspek menyasarkan mangsa terutama wanita dan warga asing yang berjalan secara bersendirian. Mereka yang menunggang motosikal kemudian bertindak meragut dan menyamun mangsa termasuk pada waktu siang,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE