Ketatkan SOP elak jangkitan - Utusan Malaysia

Ketatkan SOP elak jangkitan

PELAJAR yang hadir sempena pembukaan semula sekolah secara bersemuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah, Batu Berendam. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan disaran bertegas dalam memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat di sekolah dan institusi pendidikan bagi mengelak kebimbangan jangkitan Co­vid-19 dalam kalangan pelajar.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, semua pihak perlu mengakui penularan wabak yang berlaku dalam kalangan institusi pendidikan ketika ini adalah disebabkan isu pematuhan SOP.

Menurut beliau, ini kerana pematuhan itu bukan sahaja perlu ditegaskan dalam kala­ngan mereka yang sudah berada di sekolah dan institusi pendidikan, tetapi juga mereka yang datang dari luar yang dikhuatiri membawa jangkitan.

“Kita mula buka sekolah pada 3 Oktober lepas secara berperingkat dan sejak dua ming­gu lepas semua sekolah telah dibuka secara bergiliran. Jika kita lihat kes-kes baru itu timbul selepas sekolah dibuka lebih kurang dua atau tiga minggu lalu terutamanya institusi yang berasrama.

“Namun, jika pihak asrama sudah membuat saringan sebelum kemasukan ke asrama dan jelas tiada masalah, maka ini bermaksud (penularan) dari luar.

“Pematuhan orang luar ke asrama termasuk guru-guru yang berulang-alik ke sekolah, jadi pematuhan itu yang perlu diperketatkan kerana kita tidak mahu anak-anak yang dijaga baik di asrama terdedah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mingguan Malaysia melaporkan, Kementerian Pendidikan memberi amaran kepada semua pengurusan sekolah supaya tidak menyembunyikan kes membabitkan pelajar dan guru yang positif Covid-19.

Ini selepas sekolah dan institusi pendidikan dibimbangi menjadi pusat penularan wabak berikutan kes positif dikesan di beberapa ne­geri sejak minggu lalu.

Menurut Dr. Anuar, jangkitan yang sudah berlaku di beberapa sekolah dan institusi pendidikan perlu ditangani dengan seberapa segera oleh pihak kementerian berkenaan.

Katanya, pematuhan SOP perlu diperketatkan semula supaya ibu bapa yakin kepada pihak sekolah untuk menghantar anak-anak mereka.

“Saya bimbang ibu bapa ambil anak-anak dari sekolah, asrama atau tidak mahu lagi benarkan mereka hadir ke sekolah, maka pembelajaran anak-anak akan terganggu selepas baru mula belajar dua atau tiga ming­gu lepas.

“Kita harap Kementerian Pendidikan akan ambil perhatian tentang isu ini secara serius untuk memastikan SOP dipatuhi semua pihak terma­suk orang luar yang hadir ke sekolah, guru-guru dan para pelajar,” katanya.

Kata beliau, pembukaan sekolah sama ada secara penggiliran atau sebaliknya sudah lama diperkatakan kerana bimbang penularan wabak.

Katanya, ini kerana penggiliran murid itu juga tidak ba­nyak membantu dari segi sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) kerana guru-guru juga terpaksa mengajar dua kali sekali gus membebankan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.