Kes pelakon miliki dadah: Serahan laporan kimia pada 10 Januari - Utusan Malaysia

Kes pelakon miliki dadah: Serahan laporan kimia pada 10 Januari

NIZAM Zaidi hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini atas tuduhan memiliki dadah. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 10 Januari depan untuk serahan laporan kimia bagi prosiding kes pelakon Niezam Zaidi bersama pengarah filem dan penolongnya atas tuduhan memiliki dadah.

Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi memaklumkan laporan berkenaan yang sepatutnya dikemukakan hari ini masih belum diperoleh.

Ketika prosiding di hadapan Mohd. Shazmeer, Nur Syuhada memohon tarikh baharu untuk serahan laporan kimia ketiga-tiga tertuduh iaitu dalam tempoh sebulan.

Pada 12 Oktober lalu, Niezam Zaidi atau nama penuhnya Muhamad Niezam Mohd. Zaidi, 29, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis.

Pelakon filem Budak Pailang itu didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 1.15 gram di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, kira-kira pukul 7.15 pagi, 10 Oktober 2021.

Di mahkamah sama, pengarah dan penolong pengarah, Mohd. Latiff Zami, 49, dan Saiful Zaidrin Ismail, 47, masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 0.30 gram dadah jenis kanabis dan 0.38 gram dadah jenis methamphetamine.

Kedua-dua mereka yang dibacakan pertuduhan secara berasingan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pendakwaan ke atas Niezam Zaidi dan Mohd. Latiff dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Saiful Zaidrin pula didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta sama yang boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada 10 Oktober lalu, ketiga-tiga mereka ditahan dalam serbuan di sebuah inap desa pada pukul 7.15 pagi.

Pemeriksaan di tiga bilik di rumah berkenaan menemui dadah jenis ganja dan syabu dianggarkan bernilai RM270.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah manakala seorang daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya