KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat menswastakan pengurusan dan operasi perdagangan karbon buat masa ini.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana kerajaan kini sedang membangunkan platform tunggal perdagangan karbon peringkat domestik.
“Platform pasaran karbon domestik ini dibangunkan secara berfasa di mana fasa awal akan melibatkan pelaksanaan pasaran karbon secara sukarela (VCM) sebelum peralihan kepada Skim Perdagangan Karbon Peringkat Domestik (DETS).
“Sebagaimana semua sedia maklum, Bursa Malaysia adalah merupakan satu entiti berstatus Syarikat Berhad bawah Kementerian Kewangan.
“Bursa Malaysia dipilih bagi membangunkan VCM Domestik dan DETS disebabkan pengalaman Bursa Malaysia dalam melaksanakan operasi pasaran modal (capital market) seperti ekuiti dan bon,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Wong Chen (PH-Subang) meminta kerajaan menjelaskan perkembangan terkini berhubung dagangan karbon.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim turut berkata, Bursa Malaysia juga telah mempunyai keupayaan teknikal dan perundangan untuk menjadi entiti pelaksana DETS.
“Pelaksanaan fasa-fasa DETS pula adalah berpandukan kepada prinsip pasaran terbuka serta permintaan dan penawaran pasaran dan akan memudahkan akses pasaran karbon domestik oleh entiti yang berpotensi seperti syarikat swasta dan kerajaan negeri,” jelasnya.










