Kerajaan berjaya lucut RM1.4j aset Addy Kana - Utusan Malaysia

Kerajaan berjaya lucut RM1.4j aset Addy Kana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia hari ini berjaya melucut hak aset berjumlah melebihi RM1.4 juta milik ahli perniagaan, Addy Kana selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pendakwaan untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap lelaki itu selepas gagal membayar tunggakan cukai pendapatan.

Kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membuat permohonan tersebut selepas Addy Kana atau nama sebenarnya Zaini Kanapiah gagal memasukkan kehadirannya dalam tuntutan tunggakan cukai tersebut.

Menurut semakan di mahkamah, prosiding hari ini dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar, Maslinda Selamat yang turut menetapkan kos sebanyak RM1,500.

Pada 1 Oktober lalu, Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan dengan menamakan Zaidi, 37, sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi sistem mahkamah (e-filing), plaintif mendakwa bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019, defendan ditaksirkan dengan taksiran tambahan masing-masing berjumlah RM380,025.73 dan RM918,079.23.

Bagaimanapun, Addy Kana telah gagal membayar keseluruhan cukai pendapatan dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan mengikut Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967 menyebabkan penalti sebanyak 10 dari jumlah tunggakan asal dikenakan menyebabkan sebanyak RM129,810.49 telah ditambahkan ke atas cukai yang masih belum dibayar itu.

“Plaintif berhak untuk mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan yang masih terhutang itu serta kenaikan-kenaikan yang dikenakan ke atas defendan sebagai satu cukai yang genap masanya dan kena dibayar,” menurut pernyataan tuntutan tersebut.

Dakwa plaintif, defendan masih gagal membayar kepada plaintif keseluruhan cukai pendapatannya yang masih terhutang dan genap masanya dan kena dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019 (Tambahan) termasuk kenaikan-kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM1,427,915.45.

Selain tunggakan cukai pendapatan tersebut, Kerajaan memohon faedah sebanyak lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penuh pembayaran, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

Pada 1 September lalu, kerajaan melalui LHDN juga telah memohon untuk melucut hak wang yang terdapat dalam akaun peribadi ahli perniagaan, Alvin Goh dan isteri ‘Datuk’ Ady Kanna serta tiga syarikat mereka berjumlah RM517,113.33 selepas disyaki terlibat dengan aktiviti haram.

Turut dinamakan sebagai responden ialah isteri `Datuk’ Addy Kana atau nama sebenarnya Zaidi Kanapiah, `Datin’ Alyaa Suhaila Mohamad Shariff,34, dan sebuah syarikat, Nine Nine International Sdn. Bhd.

Addy Kana dan Alyaa merupakan pengarah dalam syarikat Nine Nine.

Alvin yang dikaitkan dengan kes Macau Scam dan judi dalam talian pernah menjadi buruan polis selepas meloloskan diri dengan memanjat pagar belakang bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, sebelum ditahan semula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya