Kenaikan kos bahan mentah antara punca kenaikan mendadak harga baja, racun - Utusan Malaysia

Kenaikan kos bahan mentah antara punca kenaikan mendadak harga baja, racun

NURULHISHAM YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perubahan polisi negara pengeksport, kenaikan kos bahan mentah, gangguan logistik dan spekulasi pasaran dikenal pasti antara punca kenaikan mendadak harga baja dan racun kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Nurulhisham Yaakob berkata, sesi libat urus yang dikenali sebagai jawatankuasa bersama berkenaan isu kenaikan harga baja dan racun sudah memberi beberapa cadangan kepada Kabinet mengenai isu kenaikan harga secara mendadak itu.

Katanya, kuasa kawalan racun sebenarnya tidak berada di bawah kawalan kerajaan negeri sebaliknya di bawah tanggungjawab Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Sebagai makluman, KPDNHEP telah mengadakan satu libat urus bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan wakil persatuan industri pertanian pada 10 November 2021 bagi menangani isu kenaikan harga baja dan racun,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd. Ridzuan Hashim (Pas-Guar Sanji) mengenai apakah peranan kerajaan negeri dalam mengawal dasar pertanian dan perdagangan berkaitan peningkatan harga racun dan baja dalam sektor pertanian.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, dianggarkan hampir satu juta petani di negara ini terkesan berikutan kenaikan berterusan harga racun rumpai yang dikatakan mencecah sehingga 100 peratus sekali gus menyebabkan golongan tersebut mengalami kerugian.

Kenaikan tersebut dikatakan berlarutan sejak Mac lalu dan menunjukkan peningkatan setiap bulan sehingga mencecah RM400 bagi 20 liter bahan keperluan pertanian berkenaan ketika ini.

Tambah Nurulhisham, pelbagai usaha dilakukan bagi mengurangkan kesan kenaikan harga baja dan racun ketika ini.

Katanya, antaranya jabatan dan agensi di bawah MAFI mengambil inisiatif menggalakkan petani mengamalkan pengurusan perosak bersepadu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap racun kimia melalui kawalan secara kultura, kawalan fizikal dan kawalan biologi.

Selain itu katanya, antara langkah lain adalah menggalakkan dan mempromosikan penggunaan input pertanian berasaskan mikroorganisma berfaedah seperti ‘Plant Booster’, ‘Growth Enhancer’ dan ‘Bokashi’.

“Kita juga menggalakkan penggunaan bahan sisa tanaman seperti jerami padi untuk dijadikan baja kompos selain menjalankan aktiviti pengembangan bagi mendidik petani untuk menggunakan baja dan racun mengikut keperluan dan sukatan yang tepat dengan teknik-teknik yang betul supaya penggunaan baja dan racun adalah berkesan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya