MELAMPAU juga tuduhan warganet terhadap pelakon dan pengacara yang seorang ini.
Ada yang mendakwa kononnya Ifa Raziah ini tergamak menipu orang ramai. Kononnya, sudah namanya orang berniaga, Ifa dituduh sanggup melalui proses pembedahan pemotongan usus demi melariskan produk minuman kesihatan yang diasaskan olehnya.
Hal itu sebenarnya sudah lama bertebaran kedengaran di ruangan maya. Cuma, baru-baru ini, ada pula kalangan netizen yang berani membuat dakwaan itu berdasarkan sekeping gambar di media sosial.
Menerusi dakwaan itu, Ifa kononnya sudah kantoi bergambar bersama doktor yang ‘bertanggungjawab’ membuat pembedahan tersebut. Dek kerana fitnah yang timbul, Ifa mencabar individu itu menunjukkan bukti selain sanggup menawarkan RM200,000 sebagai ganjaran.
Pendek kata, berani kerana benarlah ya. Bertanyakan hal ini kepada empunya diri, kepada Pancaindera, Ifa mengaku kesal dengan tuduhan itu yang disifatkannya keterlaluan.
Berikut temu bual bersama penyanyi berusia 46 tahun ini.
Ada yang tuduh Ifa potong usus demi mahu lariskan produk sendiri. Apa cerita ini Ifa?
Mereka ini memang tak boleh tengok saya cantik. Tak boleh tengok saya senang dan bahagia. Orang sakit hati, biasalah itu.
Hanya sekeping gambar saja, ada yang berani tuduh Ifa buat proses pembedahan itu. Tak rasa marah?
Memang benar saya ada bergambar dengan seorang doktor baru-baru ini. Dia doktor yang sama merawat saya sejak empat tahun lalu. Rasanya ramai sudah tahu dan saya pun pernah jelaskan sebelum ini tentang masalah lebihan asid refluks di perut.
Jadi, dua kali setahun saya perlu mendapatkan rawatan susulan. Masa jumpa doktor itu, dia pun terkejut berat badan saya turun dan semakin kurus. Mestilah dia sedar mengenai perubahan itu sebab dia pun perlu merekodkan tahap kesihatan pesakitnya.
Doktor tak tegurkah keadaan Ifa sebab difahamkan, sakit seperti ini agak bahaya jika semakin susut berat badan?
Memang dia ada tegur dan nasihatkan. Saya akui, ada mengamalkan diet pemakanan yang ketat dalam masa sama sebab itulah semakin ketara kurus. Dia ada juga puji saya kurus, dan menerusi gambar itu, tak ada pula dia promosi produk saya atau cakap pasal potong usus. Doktor itu pun ada kepakaran lain, kenapa tuduh dia buat pembedahan itu saja?
Kebetulan, saya hendak pergi umrah, jadi saya pergi buat rawatan susulan itu. Ada juga buat rawatan gigi, tapi tak ada pula yang kata saya pakai gigi palsu pula kan?
Jadi, memang betul lah Ifa tak potong usus?
Saya tak buatlah! Cuba tengok orang yang potong usus. Tengok selebriti-selebriti yang buat, sekarang semua sudah gemuk balik. Ada beberapa artis yang buat, adakah mereka kurus berterusan? Dah memang saya tak buat kenapa nak paksa mengaku? Kenapa hendak fitnah saya? Tuduh saya potong usus tak apa lagi, ini tuduh saya tipu pengguna pula?
Habis itu, tak akanlah semua yang guna produk saya dah kurus, itu semua sebab mereka buat pembedahan? Ada orang, nak keluarkan RM100 pun terketar-ketar, ini pula nak campak RM45,000 untuk potong usus?
Iyalah, mungkin ada yang mampu boleh buat. Tak begitu Ifa?
Ini bukan soal mampu atau tidak tahu tak? Bukan semua orang boleh potong ususlah! Individu yang mengalami bermacam-macam penyakit, bukan sembarangan keluar duit, bagi pada doktor dan buat. Ada prosedurnya, contohnya berat badan melebihi 100 kilogram ke atas. Berat badan saya ideal dan normal. Tak perlu pun potong usus sebab nak kurus. Saya memang ada masalah asid refluks itu. Tapi sekarang sudah 70 peratus pulih. Doktor pun marah saya supaya jangan turun berat badan lagi. Sekarang 55 kilogram sudah ideal.
Ada pula yang tak setuju dengan tindakan Ifa buat tawaran duit beratus ribu semata-mata hendak cabar warganet tunjuk bukti. Apa komen Ifa?
Memang saya malas nak bertekak dengan warganet ini. Dah berapa kali diterangkan mengenai situasi kesihatan saya dan hal kontroversi ini pun bukan baru. Setiap tahun mesti ada hendak panaskan cerita dengan isu potong usus ini. Artis lain potong usus, saya pula ditujukannya. Mereka yang buat, kemudian jual produk, tak pula kena. Balik-balik saya.
Jadi, sebab itulah saya akhirnya buat keputusan hadir dengan tawaran itu. Maklumlah, ada lagi duit celah-celah di rumah, jadi kita nak bagilah pada mereka yang sesuka hati buat fitnah itu. Pergilah korek ikut mana pun, carilah, dan tunjukkan bukti pasal saya buat pembedahan itu. Saya nak bayar tunai tahu! RM200,000. Bukan RM200 tahu. Duit banyak itu, boleh dapat sebuah kereta BMW. Empat hari juga saya buat ‘peraduan’ itu. Tak ada pula yang tampil. Tunggu juga telefon berdering, mana tahu ada individu yang hendak tuntut duit !