KUALA LUMPUR : Pelakon senior dan dikagumi ramai, Fauziah Nawi, 68, mendedahkan, dia tidak pernah berharap anak cucunya untuk menceburi bidang seni lantaran tahu kehidupan sebagai anak seni tidaklah seindah yang disangka orang.
Menurut Fauziah, perkara itu pernah diluahkannya kepada arwah anaknya, Mohd Firdaus Mohamad Hanif,atau Pitt, termasuk cucu-cucunya dengan seorang daripadanya merupakan anak arwah.
“Kalau boleh, memang saya tak nak cucu memilih bidang ini. Satu sebabnya, kerana saya tahu mereka akan berdepan kesukaran kehidupan.
“Tapi bila cucu dah masuk kolej dan ambil jurusan filem, saya tak boleh nak halang lagi. Pernah juga saya minta padanya untuk memilih jurusan lain dan beritahu realiti hidup anak seni ini bagaimana.
“Tapi dia tetap dengan pendiriannya dan memilih bidang ini. Mungkin juga kerana darah yang mengalir itu adalah darah seni, Allah SWT lebih tahu dan inilah jalan hidupnya,”katanya.
Fauziah berkata demikian semasa ditemui pada majlis Anugerah Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, Fauziah juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman FFM31.
Sementara itu, Fauziah juga menaruh harapan agar nasib dan kehidupan anak seni pada masa akan datang akan berubah menjadi lebih baik berbanding apa yang telah dilaluinya.
Bahkan, dia juga meletakkan kepercayaan bahawa setiap penggiat seni kreatif seharusnya mempersiapkan diri dengan ilmu agar usaha untuk merubah nasib itu dapat direalisasikan.
“Macam cucu saya itu, dia memang nak jadi macam ayahnya. Cucu saya yang kedua pun dah berjinak-jinak dalam dunia lakonan. Saya tak dapat nak halang.
“Apa yang saya beritahu pada mereka, kalau betul nak masuk bidang ini, mereka kena tabah dan kuat. Masih saya teringat kata-kata arwah bapa pada saya dulu. Kalau betul nak masuk bidang ini, sekali melangkah jangan patah balik.
“Perkara yang sama saya katakan pada arwah Pitt dan kemudian cucu-cucu saya pula. Nasihat yang sama.
“Saya harap bila zaman mereka ceburi bidang ini, masa depan mereka berubah dan lebih terjamin,” katanya.
Dalam pada itu, meraih pandangannya berhubung anugerah khas yang diterimanya tempoh hari, Fauziah bersyukur dan terharu kerana dia menerima anugerah itu semasa masih hidup.
“Saya bersyukur kerana anugerah ini diberikan ketika saya masih hidup. Bukannya semasa saya sudah meninggal dunia…
“Ini juga adalah untuk arwah Pitt,”katanya.
Untuk rekod, Fauziah pada tahun 2018 pernah merangkul gelaran Pelakon Pembantu Terbaik menerusi Anugerah Skrin.
Selain arwah Pitt, menantunya, Farah Ahmad juga merupakan seorang pelakon berkaliber yang bersama-sama menggerakkan industri sebagai penggiat seni kreatif tanah air.