JBPM sambut baik cadangan Cuepacs kaji elaun BIB - Utusan Malaysia

JBPM sambut baik cadangan Cuepacs kaji elaun BIB

MOHAMMAD Hamdan Wahid menyampaikan anugerah Pelatih Keseluruhan Terbaik Pengambilan Ke-4 Sesi Tahun 2019/2020 kepada Sufi Suprianto Sutijo pada Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siswa USIM di Dewan Tuanku Canselor USIM, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyambut baik cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) supaya Elaun Bayaran Insentif Bomba (Elaun BIB) dapat dikaji semula.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, kertas cadangan berkaitan elaun berkenaan juga telah dihantar pihaknya ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini untuk dipertimbangkan.

“Permohonan kami dalam proses pertimbangan oleh pihak JPA. Pihak bomba menghormati pandangan Cuepacs berkenaan hal itu dan kami percaya mereka juga mendapat maklum balas daripada Kesatuan Bomba iaitu ahli dalam Cuepacs. 

“Kami berterima kasih kepada Cuepacs kerana memperjuangkan aspek kebajikan anggota bomba. Kami juga sentiasa mempunyai ruang untuk berunding bersama pihak JPA dan setakat ini, JPA amat responsif dan kami berharap ia mendapat pertimbangan kerajaan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siswa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Dewan Tuanku Canselor USIM, Nilai di sini hari ini. 

Yang hadir sama, Naib Canselor USIM, Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dan Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Hamdan Ali. 

Semalam media melaporkan, Cuepacs mencadangkan kerajaan supaya mengkaji semula Elaun BIB yang diterima anggota JBPM ketika ini iaitu sebanyak RM110 sebulan.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, jumlah itu disifatkan tidak setimpal dengan bebanan dan risiko tugas anggota JBPM yang diarahkan bekerja 12 jam tanpa sebarang tuntutan untuk tugasan lebih masa.

Adnan menjelaskan, sebelum ini, JBPM telah memohon untuk menaikkan elaun BIB namun sehingga kini masih belum diputuskan oleh kerajaan dan kadar elaun semasa yang diterima ini sangat kecil dan memerlukan kajian semula selepas 14 tahun.

Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, JBPM akan memproses cadangan untuk menaikkan pangkat  secara posthumous daripada pangkat Keselamatan Bomba (KB) 19 ke KB 22 kepada Allahyarham Mohd. Firdaus Sulaiman yang meninggal dunia semalam.

“Kami sedang dalam proses untuk mengendalikan posthumous kenaikan pangkat Allahyarham. Kami berharap ia mendapat pertimbangan sewajarnya, ini bagi mengambil kira tentang aspek kebajikan waris iaitu balu dan seorang anak. 

“Kami rakamkan ucapan terima kasih kepada semua terlibat dalam mengendalikan pengurusan jenazah dan pengebumian Allahyarham semalam,” katanya sambil memberitahu siasatan dalam kejadian berkenaan akan dijalankan.

Mohd. Firdaus, 32, meninggal dunia di Hospital Segamat, Segamat Johor pada pukul 4.15 pagi selepas mengalami cedera parah susulan terlibat dalam kejadian letupan di sebuah kilang ketika operasi memadam kebakaran di kilang terbabit pada Sabtu lalu.-UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN