IPK Perak yang baharu bakal dibina di Meru Raya - Utusan Malaysia

IPK Perak yang baharu bakal dibina di Meru Raya

MAZLAN Lazim (dua dari kiri) mendengar penerangan Zainal Iskandar (dua dari kanan) pada lawatan di tapak cadangan pembinaan bangunan baharu IPK Perak di Bandar Meru Raya, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebuah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang baharu akan dibina di bandar Meru Raya dekat sini bagi menggantikan bangunan lama di Jalan Sultan Iskandar.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kompleks baharu dengan anggaran kos pembinaan lebih RM300 juta itu akan dibangunkan di atas tanah seluas hampir 12 hektar.

Katanya, bagi peringkat awal, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM68 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Rolling Plan Kedua (RP2) bagi pengambilan tanah daripada Perak Corporation Berhad (PCB).

“Berdasarkan tinjauan di tapak baharu, kita dapati lokasi ini amat sesuai untuk didirikan sebuah IPK Perak yang baharu setelah mengambil kira semua segi termasuk lokasi yang strategik dan keselamatan penduduk.

“Tambahan lagi bandar Meru Raya akan membangun menjadi sebuah bandar, jadi penting untuk kita lihat peranan polis dalam membantu menjaga keselamatan sekali gus memastikan pentadbiran polis berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan tapak cadangan Kompleks IPK Perak baharu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid;  Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dan Ketua Pegawai Eksekutif PCB, Zainal Iskandar.

Menurut beliau, pihaknya juga akan mengemukakan permohonan bagi peruntukan pembinaan kompleks baharu yang dianggarkan bernilai RM300 juta menerusi RMK12 Rolling Plan Ketiga pada 2023 nanti.

“Kita akan buat proses perolehan tanah dahulu dan pada masa sama mohon bajet untuk pembinaan, setelah diluluskan nanti barulah kita ke peringkat seterusnya seperti buka tender.

“Yang sedia ada (bangunan IPK Perak) ini sudah lama, jadi kita amat berharap ada pembinaan bangunan baru untuk membantu aspek keselamatan dan kelancaran pentadbiran kepolisan di Perak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN