Ini bukan pengakhiran kerja dakwah saya - Rahmad Mega - Utusan Malaysia

Ini bukan pengakhiran kerja dakwah saya – Rahmad Mega

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Meskipun tersingkir pada minggu ketiga program realiti Hijrahkan Laguku (HL) siaran TV Al-Hijrah malam semalam, Rahmad Mega, mengaku, ia bukanlah penamat bagi usaha dakwahnya kepada masyarakat.

Menurut Rahmad, kalah dan menang itu adat dalam sesebuah pertandingan dan dia menerima keputusan juri dengan hati terbuka walaupun merupakan peserta pertama yang tersingkir malam semalam.

“Saya menghadapi sedikit kesukaran untuk memilih lagu episod ketiga. Manakan tidak, saya perlu pastikan lagu itu bukan sahaja boleh dinyanyikan dengan baik namun perlu elemen lirik ketuhanan serta suntikan dakwah.

“Ini bukan pengakhiran kepada kerja dakwah saya. Tetapi ini adalah permulaan kepada lebih banyak usaha pendakwahan dan langkah kerjaya yang lebih baik di masa hadapan.

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada rakan-rakan artis lain yang masih berada di pentas HL ini, “katanya.

Semalam, Rahmad yang membawakan lagu Hentikan Alasanmu dengan gubahan lirik baru hanya mendapat 60 markah keseluruhan daripada juri professional iaitu Fauzi Marzuki, Hazamin Inteam serta Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang.

Sementara itu, Penerbit rancangan HL, Nurainah Nabeeha Hassan berkata, walaupun berat hati namun adat pertandingan realiti pastinya akan ada peserta yang tersingkir dalam mencari bintang terbaik.

“Penyingkiran secara adil dan berhemah ini adalah keputusan bersama pihak juri setelah mengambil kira persembahan lagu dan lirik, persembahan pentas serta adab persembahan.

“Kalau diikutkan, HL sangat berbeza dengan program realiti yang pernah disiarkan di mana-mana platform sebelum ini. Kami menitikberatkan elemen pendakwahan. Setiap artis yang menyertai pertandingan hadir dengan kisah penghijrahan berbeza.

“Kisah penghijrahan yang dikongsikan peserta saban minggu di setiap persembahan pasti meninggalkan seribu satu kesan mendalam kepada penonton. Rasa rugi apabila hilang satu bintang.

“Fauzi Marzuki turut sependapat dengan saya. Beliau sendiri akui amat sukar untuk membuat keputusan penyingkiran kerana kelapan-lapan artis menunjukkan peningkatan prestasi persembahan yang begitu mendadak pada minggu ini berbanding minggu-minggu sebelum ini. Namun, begitulah adat pertandingan, ada kalah ada menang” jelas Aina.

Dalam pada itu, persembahan minggu ketiga HL turut menyaksikan Mark Adam menerima Anugerah Bintang Nurani.

Penganugerahan ini diberikan atas peningkatan nyanyian dan persembahan penyanyi kelahiran Filipina ini dari minggu pertama walaupun acapkali menerima kritikan pedas Fauzi Marzuki.

Manakala, Datuk Nash yang menyanyikan lagu Tiada lagi Kidungmu mendapat markah tertinggi (78 peratus) diikuti Shahir Zawawi ditempat kedua dengan lagu Rasul (72 peratus) dan Zaf V.E di tempat ketiga dengan lagu Tunjuk Jalanmu (70 peratus).

Selain itu, persembahan lain yang berjaya memukau penonton adalah Iwan Shahman (Tuhan), Zack Kool dengan (Tidak Kekal Lama), Mark adam (Isteriku) dan PG Adam (Mari Mengaji). Lagu Tolaal Badru Alaina pula dipilih sebagai lagu penutup berkumpulan.

Hijrahkan Laguku yang bersiaran setiap Sabtu, jam 9 malam mendapat tajaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), dan Hotel Premiera Kuala Lumpur.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persiapan persembahan dan trivia para peserta boleh ditonton melalui liputan kapsul yang disiarkan setiap hari, jam 7.55 malam.

Siaran ulangan HL turut boleh ditonton di TV AlHijrah pada setiap Ahad, jam 4.30 petang manakala rancangan Hijrah Prihatin beama artis HL pula disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, jam 1 tengah hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya