ALOR SETAR: Syarikat penternakan ayam melahirkan kebimbangan dengan keputusan kerajaan memberi kebenaran untuk mengimport ayam bulat kerana dikhuatiri membunuh peniaga-peniaga kecil industri ini dalam jangka masa panjang.
Penternak yang juga Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), Mazlina Kamarudin berkata, langkah berkenaan bukan sekadar mengakibatkan syarikat besar yang menjual ayam segar pada pasaran terbuka terkesan malah mereka di peringkat runcit yang kebanyakannya terdiri daripada peniaga Melayu.
“Kebanyakan ayam import selalunya dipasarkan di pasar raya yang sekarang tumbuh melata walaupun di pekan-pekan kecil. Maka orang ramai akan berpusu-pusu ke pasar raya membeli ayam kerana lebih murah daripada beli ayam di pasar atau di gerai di tepi jalan.
“Kebanyakan peniaga kecil ayam ini tidak mampu bersaing dengan pasar raya ini. Lama-kelamaan mereka akan bungkus (tutup),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Akhbar baru-baru ini melaporkan, kerajaan memberi kebenaran untuk mengimport ayam bulat sejuk beku bagi tempoh tiga bulan bermula bulan ini sehingga Februari 2022.
Kebenaran mengimport itu bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran itu, membabitkan pertimbangkan import sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan.

MAZLINA KAMARUDIN
Mazlina berkata, syarikat penternakan pula terpaksa mengeluarkan produk hiliran atau ayam segar beku untuk mengurangkan kerugian.
“Jika ditanyakan kepada penternak seperti saya, memang kami semua terasa dengan langkah kerajaan ini.
“Kami lebih terasa apabila ada yang kata kami degil tidak mahu turunkan harga ayam maka dilambakkan ayam import sebagai hukuman.Tak apalah kami terima ujian ini dan cuba untuk bertahan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE