fbpx

HSKLU perlu 120 hari untuk diwarta semula

HEE Loy Sian dalam sidang DUN menjawab pertanyaan daripada, Lau Weng San berhubung isu pewartaan semula HSKLU di Bangunan Annex, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - GAMBAR SELANGOR TV

SHAH ALAM: Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang pernah terlibat dalam kontroversi penyahwartaan sebelum ini dilapor memerlukan tempoh sehingga 120 hari bagi membolehkan pewartaan semula hutan berkenaan.

Tempoh tersebut diperlukan untuk membolehkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat serta Jabatan Perhutanan Selangor membentangkan perincian bagi pewartaan semula HSKLU yang terlibat kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Hee Loy Sian berkata, pembentangan itu dijangka dilakukan pada bulan ini selepas laporan disiapkan oleh semua agensi terlibat.

“Perincian itu perlu dibentangkan kepada kerajaan negeri dalam Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES). Status terkini pewartaan semula HSKLU seperti diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 8 September lalu disahkan dalam mesyuarat MMKN pada 15 Disember.

“Prosedur yang perlu dipatuhi untuk melaksanakan proses tersebut adalah berdasarkan Kaedah 8, Kaedah-Kaedah Hutan Selangor 1988 iaitu prosedur bagi mewujudkan hutan simpanan kekal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Annex, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Lau Weng San, di sini hari ini.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan HSKLU diwartakan semula selepas mendapat bantahan daripada penduduk kampung Orang Asli susulan penyahwartaannya dilakukan pada Mei lalu bagi tujuan pembangunan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin turut memberitahu untuk mewartakan 42 hektar daripada jumlah keseluruhan 536.6 hektar tanah akan dinyahwarta untuk diserahkan kepada penduduk Kampung Orang Asli Busut Baru.

Tindakan itu sekali gus menyelesaikan masalah tuntutan tanah yang belum ditunaikan sejak 2006 susulan pemindahan mereka pada 1994 bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam pada itu, Loy Sian yang juga ADUN Kajang bagaimanapun memberitahu, hanya keluasan kira-kira 486 hektar diluluskan untuk diwartakan semula sementara 42 hektar lagi diteruskan proses penyahwartaannya bagi penduduk kampung Orang Asli.

“Proses penyahwartaan 42 hektar diteruskan bagi penyelesaian isu pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru yang tertangguh sejak 2006 dan jajaran laluan paip air mentah Loji Rawatan Air Sungai Rasau seluas kira-kira 8.5 hektar,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!