KEMAMAN: Gadis dari Kampung Pengkalan Binjai di sini yang dilaporkan hilang sejak 19 November lalu dirayu segera kembali ke pangkuan keluarganya.
Kakaknya, Nur Hasyimah Hashim, 28, berkata, mereka buntu untuk menjejaki Nur Haisyah, 22, kerana telefon bimbit remaja berkenaan sudah tidak aktif untuk dihubungi.
Katanya, kehilangan adiknya pada sebelah malam itu disedari ibunya, Mahani Ibrahim, 48, selepas membaca mesej yang dihantar ke telefon bimbit keesokan harinya.
“Dalam mesej itu dia meminta maaf dan memberitahu akan balik selepas keadaan tenang.
“Pada malam kejadian, kami sekeluarga sempat berkumpul di rumah dan semasa bersembang adik tidak menunjukkan apa-apa perubahan sikap, malah sesama kita memang tiada perbalahan atau masalah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nur Hasyimah berkata, adiknya yang tidak bekerja dan membantu ibunya membuat kuih itu dikesan keluar dari rumah sehelai sepinggang tanpa membawa sebarang pakaian mahu pun dompet.
Katanya, hingga kini sudah 20 hari adiknya hilang, sekali gus menyebabkan kesihatan kedua ibu bapa terganggu kerana risau.
“Laporan polis sudah dibuat sejak bulan lalu dan kami semua menanti kepulangannya, bahkan bersedia melupakan segala yang berlaku,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nur Haisyah boleh melaporkan kepada pihak polis atau menghubunginya di talian 011-59094857 atau 018-3773313. – UTUSAN ONLINE