Harga sayur mahal? Mudah sahaja, tanam sendiri di rumah - Utusan Malaysia

Harga sayur mahal? Mudah sahaja, tanam sendiri di rumah

N. V. SUBBAROW menunjukkan hasil sayur-sayuran yang ditanam di pejabat CAP di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang yang tidak memerlukan kawasan yang luas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan orang ramai  menanam sendiri sayur-sayuran bagi mengurangkan beban kenaikan harga bahan makanan itu yang sedang berlaku ketika ini.

Pegawai Pendidikannya, N. V. Subbarow berkata, langkah itu dilihat paling tepat kini memandangkan harga sayur-sayuran yang melambung tinggi dijangkan bertahan untuk tempoh agak lama.

Malah jelas beliau, Persatuan Penjual Sayur-Sayuran sendiri turut menegaskan keadaan harga sayur yang tinggi itu mungkin berterusan sehingga Tahun Baharu Cina akan datang.

Jelas beliau, menanam sendiri di rumah boleh menjimatkan kos dan pengguna boleh menanam sayur-sayuran yang biasa dimakan dengan mudah di rumah.

“Sesiapa yang ingin menanam mesti ingat kita tidak memerlukan ruang yang besar untuk menanam sayur-sayuran.

“Tumbuhan berbuah seperti bendi, terung, cili dan sayur-sayuran berdaun seperti sawi, kangkong, kalian, bayam dan tanaman saka pudina, pegaga, kesum dan selom boleh ditanam dengan mudah walaupun di balkoni rumah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, barangan rumah seperti karton susu, jus dan botol minuman serta bekas kecil boleh digunakan untuk tumbuhan yang mempunyai sistem akar yang lebih kecil seperti sayur-sayuran berdaun.

“Bagi tumbuhan yang mempunyai akar lebih besar seperti bendi dan terung, tin biskut bekas sejuk, botol minyak dan air lima liter boleh digunakan dengan mudah sebagai media tanaman,” katanya.

Dalam masa sama jelas beliau, CAP mengadakan latihan berkala pertanian bandar untuk mereka yang berminat belajar terutama suri rumah menanam sayur-sayuran sendiri di rumah.

Ketika ini kata beliau, pihaknya sedang mengeluarkan baja vermi dan penggalak pertumbuhan tumbuhan dan tanah yang diperkaya dengan harga yang berpatutan bagi mereka yang ingin memulakan aktiviti berkebun.

Malah jelasnya, panduan berkebun di rumah dan pengurusan perosak yang ringkas untuk pelajar baharu juga tersedia untuk dijual di pejabat CAP.

“Memulakan taman di rumah sendiri adalah berbaloi kerana  akan memberi manfaat kepada seluruh ahli keluarga untuk menikmati sayur-sayuran segar dan bebas kimia.

“Mereka yang tinggal di bangunan kediaman bertingkat yang mempunyai ruang terhad juga boleh mengamalkan taman bandar dengan berkesan selagi dapat memastikan tanaman mendapat cahaya matahari,” katanya.

Sehubungan itu, mereka yang berminat untuk menyertai latihan pertanian semula jadi boleh mendaftar di pejabat CAP atau menghubungi talian 04-8299511 atau Subbarow di 012-5374899.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya