Harga ayam akan turun - KPDNHEP - Utusan Malaysia

Harga ayam akan turun – KPDNHEP

HASNOL ZAM ZAM Ahmad (tengah) meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di pekan Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Harga maksimum ayam RM9.30 sekilogram yang ditetapkan kerajaan akan dikaji semula untuk diturunkan susulan kemasukan bekalan ayam sejuk beku import sebanyak 16.5 juta ekor dalam pasaran sehingga Februari tahun hadapan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, harga bekalan asas itu lazimnya akan diturunkan apabila wujud penawaran bekalan ayam yang meningkat.

“Harga maksimum akan bergantung pada harga ayam import dan kita lihat kesannya kepada penawaran, kalau ada penurunan harga, itu berita baik untuk pengguna.

“Apabila ayam import sudah masuk, penawaran akan menjadi berlebihan dan kita akan kaji semula harga maksimum ayam RM9.30,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di pekan Kuala Sungai Baru di sini hari ini.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu disertai enam agensi kerajaan dan 13 syarikat yang menawarkan pelbagai bahan makanan, termasuk ayam pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Semalam, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid memberitahu, kerajaan telah menetapkan harga maksimum ayam standard pada kadar RM9.30 sekilogram bagi jualan runcit dan RM8 untuk pemborong di Semenanjung sehingga 31 Disember depan.

Katanya, bagaimanapun harga ayam standard di Langkawi ditetapkan pada harga RM9.80 sekilogram (runcit) dan RM8.50 sekilogram (borong).

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam pula memaklumkan, kerajaan telah memberi kebenaran mengimport ayam bulat sejuk beku 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan.

Bekalan import tu bagi menampung kekurangan bekalan ayam dalam pasaran seperti dilaporkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang merekodkan kemerosotan secara purata sebanyak 18 peratus sejak Oktober dan dijangka akan berlanjutan pada bulan ini.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan kenaikan harga ayam mencecah lebih RM10 sekilogram di pasar basah dan pasar raya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya