Gunung Kinabalu bakal diiktiraf sebagai Geopark - Takiyuddin

Gunung Kinabalu bakal diiktiraf sebagai Geopark 

TAKIYUDDIN Hassan (tengah) menyiram pokok bagi simbolik perasmian  Forum Kelestarian Luggp 2021, Projek Konservasi Alam One Tourist One Tree (1T1T) dan Projek Orang Langkawi di Langkawi hari ini. - FOTO/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyasarkan untuk menjadikan Gunung Kinabalu, Sabah sebagai Geopark kedua yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di negara ini selepas Langkawi.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kementeriannya kini sedang dalam usaha untuk merealisasikan perkara tersebut yang bakal menjadi tarikan terbaharu di gunung tersebut.

“Banyak keajaiban di puncak Gunung Kinabalu tidak diketahui ramai yang boleh melayakkan Kinabalu untuk menjadi Geopark Global yang diiktiraf UNESCO. Penasihat Langkawi UNESCO Global Geopark, Profesor Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo memberitahu saya ada kesan glasier di puncak Kinabalu yang berusia beberapa juta tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Kelestarian Luggp 2021, Projek Konservasi Alam One Tourist One Tree (1T1T) dan Projek Orang Langkawi di Hotel Aloft, Pantai Tengah, di sini hari ini. 

Turut hadir dalam program tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib.

Gunung Kinabalu merupakan antara puncak tertinggi di Asia Tenggara yang memiliki ketinggian 4,095 meter (m) dari aras laut.

Takiyuddin menambah, KeTSA akan meminta panduan daripada pakar geologi yang membuat kajian mengenai fenomena itu bagi mendapatkan status Geopark Global daripada UNESCO.

Selain itu, beliau berkata, KeTSA turut merancang untuk menyenaraikan Gunung Raya di Langkawi sebagai Taman Geoforest Granite pertama dalam masa yang terdekat.

Ujarnya, dengan pengisytiharan itu, Gunung Raya akan tersenarai sebagai salah satu Geopark Kebangsaan di Malaysia. 

Jelasnya, sumber alam semulajadi yang terdapat di Langkawi perlu dibangunkan secara lestari yang boleh menjadi sumber pelancongan ekologi. 

Hasilnya, sosioekonomi penduduk Langkawi dapat dibangunkan dan menjadi nilai tambah kepada industri pelancongan di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN