KUCHING: KUCHING: Menteri-menteri Persekutuan dan pemimpin negeri dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) digesa merangka Pelan Tindakan Penurunan Kuasa untuk Sarawak yang menggariskan pencapaian penting dalam tempoh lima hingga 10 tahun serta penilaian perkembangan secara berkala.
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawa dari DAP, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen berkata, ia boleh bermula dengan memberikan kuasa hal ehwal kesihatan dan pendidikan kepada Sarawak.
“Langkah-langkah perlu diambil untuk memasukkan pendidikan dan penjagaan kesihatan dalam senarai serentak sebagai tanggungjawab untuk dikongsi dengan kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah.
“Pandemik Covid-19 menunjukkan pentingnya perkongsian sama rata antara negeri dan persekutuan, terutama dalam hal kesihatan untuk menguruskan wabak dengan berkesan dan melindungi kehidupan rakyat Sarawak.
“Kita mesti membina kapasiti yang mencukupi dari segi ujian, pengesanan, pengasingan dan menyokong pesakit yang berpotensi untuk dapat menahan gelombang wabak lain,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat DAP, di sini hari ini.
Lee Wuen merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen. Beliau akan berdepan dengan calon daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS-SUPP), Dr. Sim Hui Hian; calon dari Parti Bumi Kenyalang (PBK), Chai Keuh Khun dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Fong Pau Teck di Batu Kawa.
Gesaan itu hadir selepas Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan MA63. Katanya, autonomi Sarawak bermula dengan merangka dan menilai kemajuan melalui pelan tindakan tersebut.
Mengulas lanjut, ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata, sukatan pelajaran dan institusi pengajian tinggi perlu menggabungkan input daripada pihak berkepentingan untuk melahirkan bakat serba boleh yang menjurus kepada pekerjaan yang mahu diwujudkan.
“Pelaburan dinamik sebegini akan membawa impak positif kepada kebolehpasaran belia dan juga individu, terutamanya wanita, yang berhasrat untuk memasuki semula tenaga kerja,” katanya. -UTUSAN ONLINE