KANGAR: Sebanyak enam pelantar ikan termasuk satu milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Sungai Baru, Simpang Empat di sini musnah dalam kebakaran hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan nyawa.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, kebakaran dipercayai bermula dari sebuah pelantar ikan milik seorang lelaki yang kemudiannya merebak ke pelantar ikan bersebelahan kiri dan kanan.
“Turut musnah dalam kebakaran tersebut adalah dua bot nelayan persendirian dan tiga motosikal selain pukat serta tong ikan yang diletakkan di pelantar ikan itu.
“Hasil siasatan awal dari pihak bomba belum lagi mengenal pasti punca kebakaran tersebut. Tiada kemalangan jiwa berlaku dan anggaran kerugian juga tidak dapat dipastikan lagi,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihak bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul pukul 1.50 pagi bagi mengawal dan memadamkan kebakaran.