DUN Negeri Sembilan lulus Belanjawan 2022 - Utusan Malaysia

DUN Negeri Sembilan lulus Belanjawan 2022

DUN Negeri Sembilan hari ini meluluskan Belanjawan Negeri Sembilan 2022 yang berjumlah RM520 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selepas dibahaskan selama tiga hari, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini meluluskan Belanjawan Negeri Sembilan 2022 berjumlah RM520 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika sesi penggulungan berkata, belanjawan yang bertemakan ‘Mendaya Upaya Ekonomi Rakyat’ dirangka secara menyeluruh dan inklusif dengan memberi fokus kepada agenda pemulihan ekonomi pasca Covid-19 dengan tumpuan terhadap inisiatif yang boleh merancakkan ekonomi negeri.

“Ia juga berteraskan dua tekad iaitu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dan meningkatkan keupayaan penjanaan pendapatan keluarga,” katanya.

Aminuddin pada 26 November lalu membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2022 yang merupakan belanjawan defisit sebanyak RM88 juta.

Ia merupakan belanjawan defisit untuk tahun kedua berturut-turut yang dibentangkan selepas Belanjawan 2021.

Menerusinya, belanja mengurus pada tahun hadapan dibentangkan sebanyak RM520 juta berbanding anggaran hasil yang berjumlah RM432 juta manakala peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan pula adalah sebanyak RM130 juta.

Sementara itu, dalam sesi penggulungan yang sama, Aminuddin memaklumkan, pihaknya bersedia untuk mengkaji semua cadangan pemberian peruntukan sama rata kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Kerajaan negeri pernah menyediakan peruntukan kecil sebanyak RM100,000 kepada ADUN pembangkang melalui pejabat daerah masing-masing dalam Belanjawan 2019. Sebanyak RM1.3 juta telah dibelanjakan daripada keseluruhan RM1.6 juta peruntukan disediakan.

“Bagaimanapun ADUN-ADUN pembangkang dalam sesi sidang DUN yang lalu telah menolak peruntukan tersebut dan cadangan belanjawan pada tahun berikutnya.

“Kami bersedia mengkaji semula cadangan pemberian peruntukan sama rata kepada semua ADUN di negeri ini bergantung kepada keupayaan kewangan kerajaan negeri memandangkan kerajaan negeri dijangka terus menghadapi defisit pada tahun depan,” kata beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN