SUNGAI PETANI: Dua beranak lemas ketika memukat udang di perairan Kota Kuala Muda dekat Kampung Tepi Sungai di sini pada pagi ini.
Mayat mangsa, Mohamad Ariffie A. Razak, 68, dan Zulhusni, 29, ditemukan nelayan lain kira-kira pukul 10.30 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kedua-dua mangsa turun ke laut untuk memukat udang pada pukul 7 pagi ini.
“Seorang saudara mereka mengesyaki mangsa berusia 29 tahun diserang sawan dan terjatuh ke dalam laut sebelum bapanya cuba menyelamatkannya.
“Kedua-dua mangsa bagaimanapun mati lemas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, mayat kedua-dua mangsa ditemukan pada pukul 10.30 pagi ini oleh nelayan lain.
“Ada juga saksi awam ternampak dua lelaki terdampar di tepi pantai Kampung Tepi Sungai.
“Semasa ditemukan, kedua-dua mangsa telah meninggal dunia dipercayai lemas dan pemeriksaan lanjut ke atas mayat mendapati tiada kesan luka,” jelasnya.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Sultan Abdul Halim di sini dan bedah siasat akan dijalankan pada esok.
“Kematian dipercayai tiada unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.










