PETALING JAYA: Tentera Darat Malaysia (TDM) memohon semua pihak menghormati perasaan serta privasi keluarga Allahyarham Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi serta tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan.
TDM dalam kenyataan mengesahkan Prebet Muhammad Amirul Raziq dari Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD) yang menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, Pahang telah menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9.40 pagi tadi.
“Jenazah Prebet Muhammad Amirul Raziq yang koma sejak 30 Mac lalu akibat dikasari oleh seorang anggota berpangkat koperal akan menjalani prosedur bedah siasat sebagai sebahagian daripada prosedur perubatan yang ditetapkan oleh Hoshas.
“Selepas proses bedah siasat selesai, jenazah Allahyarham dijangka akan dibawa pulang ke Gemas, Negeri Sembilan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Sungai Kelamah, Gemas.
“Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md. Othman bersama seluruh warga TDM turut merakamkan ucapan takziah kepada waris dan ahli keluarga Allahyarham serta menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan seorang anggota pasukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, kes serangan membabitkan tentera berpangkat koperal yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh selepas mangsa meninggal dunia hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, suspek sebelum ini dituduh di mahkamah atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan menegaskan tiada sebarang kompromi terhadap sebarang salah laku susulan insiden di Bentong, Pahang yang melibatkan anggota TDM sehingga mengorbankan nyawa.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang bentuk keganasan, salah laku atau pelanggaran disiplin tidak mencerminkan nilai, integriti dan profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia (ATM). – UTUSAN










