Dua beradik antara dicekup menyamar polis samun barang kemas - Utusan Malaysia

Dua beradik antara dicekup menyamar polis samun barang kemas

SAZALEE Adam (kiri) menunjukkan pistol tiruan yang dirampas daripada empat suspek yang menyamun sebuah rumah di Kulim. - UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Empat penjenayah yang menyamar sebagai pegawai polis tidak sempat menikmati hasil samun apabila ditahan polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas memecah masuk sebuah rumah di Kampung Jeram, Merbau Pulas di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, kumpulan lelaki termasuk dua beradik melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM10,000 milik seorang wanita berusia 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam memberitahu, kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumah bersama tiga anak saudaranya berusia antara lima hingga lapan tahun.

“Suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, namun mangsa enggan membuka pintu hadapan kerana berasa curiga dengan kehadiran kumpulan lelaki tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sini hari ini.

Katanya, empat suspek yang bersenjata pistol tiruan itu kemudian bertindak memecahkan pintu belakang untuk masuk ke dalam rumah mangsa.

“Suspek terus menolak mangsa ke dalam bilik tidur sehingga menyebabkannya cedera pada lutut akibat terjatuh sebelum mengikatnya menggunakan tali pengikat kabel,” katanya.

Menurutnya, suspek seterusnya menyelongkar bilik sebelum adik lelaki mangsa yang datang ke rumah tersebut terdengar jeritan mangsa.

“Dia kemudian meminta bantuan daripada jiran untuk menangkap sebelum tiga lelaki sempat melarikan diri dan seorang sempat ditahan.

“Seorang suspek berusia 38 tahun berjaya ditahan oleh orang awam dan polis menemukan sepucuk pistol tiruan daripada suspek terbabit,” katanya.

Tambahnya, hasil soal siasat ke atas suspek, pihaknya berjaya menahan tiga lagi suspek berusia 24, 26 dan 32 tahun di Sungai Petani dekat sini kira-kira pukul 3 pagi semalam.

“Kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan polis turut menemukan dua lagi pistol mainan serta barang kemas yang disamun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun keseksaan dan kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN