PETALING JAYA: Lebih 103,000 pengunjung hadir dalam Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung selama empat hari bermula 9 sehingga 12 Disember.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, jumlah tersebut melebihi sasaran awal pihaknya iaitu sekitar 20,000 orang, sekali gus membuktikan program melibatkan penyertaan semua kementerian serta agensi berjaya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat.
Katanya, jumlah kehadiran tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 400 peratus melebihi daripada sasaran awal.
“Sebanyak 26 ruang pameran kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri serta 102 gerai jualan usahawan terlibat dalam program berkenaan.
“Program ini turut menawarkan 24,136 peluang pekerjaan daripada 75 majikan. Seramai 3,628 daripada 4,005 peserta dipanggil menghadiri temuduga manakala 2,690 berjaya ke tapisan akhir dalam jawatan yang dipohon setakat ini,” katanya dalam majlis penutup Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dan Cabutan Bertuah Perdana di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini semalam.
Yang turut hadir Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Tambah Mohd. Zuki, bagi meneruskan lagi momentum dan kesinambungan aspirasi Keluarga Malaysia, inisiatif seumpama itu akan diteruskan melalui Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di peringkat negeri melalui sesi libat urus bersama rakyat dengan segmen perkhidmatan yang sama.
“Ini bertujuan membolehkan semua lapisan rakyat memahami dan menghayati aspirasi Perdana Menteri dalam memulihkan semula ekonomi dan kehidupan yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Zuki berkata, bagi program ‘Jom Masuk IPT Keluarga Malaysia’ pula, program itu telah memberi peluang kepada pengunjung terutamanya lebih 5,000 orang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), para pelajar dan ibu bapa yang hadir.
“Mereka hadir bagi mendapatkan maklumat tawaran secara langsung untuk memasuki program Asasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di samping menerima bantuan berbentuk komputer riba, bantuan tunai, pelan data dan lain-lain lagi,” jelasnya.










