Calon Pas PRN Sarawak; Tunggu hari penamaan - Idris - Utusan Malaysia

Calon Pas PRN Sarawak; Tunggu hari penamaan – Idris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Meskipun proses penamaan calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan berlangsung Isnin ini, Pas masih enggan mendedahkan jumlah sebenar kerusi yang akan mereka tandingi pada pilihan raya berkenaan. 

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, apa yang pasti parti itu tetap akan bertanding seperti yang dirancang sebelum ini. 

“Tunggu 6 hari bulan nantilah (hari penamaan calon) tengok Pas bertanding berapa kerusi,” katanya kepada pemberita hari ini. 

Terdahulu, Idris hadir merasmikan projek Wakaf Short Stay Unit (SSU) di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kepala Batas (HKB) di sini. 

Idris serta beberapa pemimpin Pas yang lain termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini berteka-teki mengenai jumlah calon serta kerusi yang akan ditandingi pada PRN Sarawak selepas memutuskan untuk turut serta dalam pilihan raya itu beberapa hari lalu. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh 6 Disember sebagai hari penamaan calon untuk PRN Sarawak dengan 18 Disember dipilih sebagai hari pengundian dan 14 Disember pula sebagai hari pengundian awal. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN