KOTA TINGGI: Semua isu melibatkan pembahagian kerusi terutama Johor perlu dibincangkan secara tertutup dan berhemah, bukannya diperdebatkan secara terbuka sehingga boleh menjejaskan keharmonian Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pihaknya menunggu lampu hijau mengadakan perbincangan dengan kepimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) di peringkat pusat dan negeri soal pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Katanya, langkah tersebut dilihat lebih praktikal berbanding mengeluarkan kenyataan terbuka yang akhirnya akan mengguris hati pihak yang lain.
“Kita bila duduk dalam Kerajaan Perpaduan, kita boleh duduk berunding dan bukannya bergaduh di hadapan khalayak. Pada pandangan saya, wakil Amanah di peringkat Pusat dan negeri bolehlah kita berbincang pada satu masa yang tertentu.
“Mungkin ada perbincangan yang lain yang perlu dibuat, saya selaku Timbalan Pengerusi UMNO Johor menunggu lampu hijau jika diminta berbincang.
“Sebelum ada perbincangan itu, janganlah Menjerit sana, menjerit sini, tak elok. Sebabnya, kita ini satu keluarga, lainlah kalau bukan satu keluarga dan kaedah untuk Berdamai Mestilah berunding,” katanya pemberita selepas lawatan kerja ke tapak projek pelebaran Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), di sini hari ini.
Ahmad yang juga Ketua Secretariat War Room UMNO Malaysia berkata, mengikut prinsip sebelum ini mana-mana kerusi yang disandang oleh parti tertentu akan ditandingi oleh parti sama.
Katanya, formula telah digunakan dan mencapai kesepakatan dengan gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan dalam mana-mana pilihan raya Kecil (PRK) yang dihadapi setakat ini.
“Ini kita dapat lihat apabila kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang dikosongkan ditandingi calon UMNO, begitu juga di Nenggiri, Kuala Kubu Baharu, Sungai Bakap dan terbaharu di DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan.
“Bila melihat trend itu, siapa-siapa yang telah memenangi satu-satu tempat itu Maka mereka lah yang akan bertanding semula di tempat yang berkaitan Itu, prinsipnya begitu,” katanya. – UTUSAN










