PETALING JAYA : Bermula 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 akan dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) atau mesin layan diri bukan CIMB Bank/CIMB Islamic.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran akaun Facebook CIMB Malaysia hari ini.
Menurut hantaran itu lagi, para pengguna boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di mesin ATM atau mesin layan diri milik CIMB.
“Berkuatkuasa pada 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 akan dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di mesin ATM/mesin layan diri bukan CIMB Bank/CIMB Islamic.
“Anda masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di mesin ATM/mesin layan diri kami. Terima kasih,” kata hantaran tersebut.
Sebelum ini, para pengguna boleh menikmati kemudahan pengecualian caj RM1 yang dikenakan ke atas pemegang kad bagi mana-mana mesin ATM sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula tahun lalu.
Pengecualian itu diteruskan sehingga kini apabila kerajaan memaklumkan sebarang keputusan sama ada sehingga bila ia akan diteruskan atau ditamatkan bergantung kepada Kementerian Kewangan.
Jika sebelum ini, mana-mana pengguna yang ingin mengeluarkan wang di ATM selain bank dilanggan mereka akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM1.-UTUSAN ONLINE