Buli: 10 pelajar ‘dibuang’ MRSM - Utusan Malaysia

Buli: 10 pelajar ‘dibuang’ MRSM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) membuat keputusan untuk menamatkan pengajian seramai 10 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang terbabit dengan insiden membuli, berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf, mesyuarat JDM telah mengkaji kes berkenaan dengan teliti sebelum mengambil keputusan itu sebelum mengambil keputusan untuk menamatkan pengajian pelajar terbabit. 

Beliau berkata, ibu bapa pelajar yang terbabit juga telah dimaklumkan mengenai keputusan jawatankuasa berkenaan.

“Keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM.

“Mara mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu itu dan hukuman yang telah diputuskan ini menunjukkan pihak kita tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar-pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) dan tajaan MARA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, tular sebuah video yang memaparkan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai.

Susulan dari kejadian itu, siasatan telah dijalankan oleh pihak pengurusan MARA dan pihak polis negeri Perak berhubung perkara tersebut.

Menurut Azhar, MARA komited dalam menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) melalui penguatkuasaan peraturan sekolah.

“Kita di Mara tentunya hendak melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan tetapi juga mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik dan diterima oleh masyarakat,” katanya lagi. 

“Selain melaksanakan pemantauan secara berterusan melalui aktiviti pelajar ia termasuk proses pembelajaran di dalam kelas bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN