JOHOR BAHRU: Dua lelaki cedera selepas sebuah bas persiaran yang hilang kawalan merempuh kenderaan dipandu mereka dalam kejadian di Kilometer 37, Lebuhraya Selatan Susur Dato Onn, di sini pagi ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azhar Abd. Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9 pagi.
“Setibanya di lokasi, kemalangan berkenaan didapati melibatkan empat buah kenderaan iaitu sebuah bas persiaran yang kosong, sebuah Proton Saga, sebuah Perodua Myvi dan sebuah BMW.
“Akibat kemalangan itu, pemandu Proton Saga, Ramy Bidin, 38, dan pemandu BMW, Helmi Mohamed, 47, mengalami kecederaan dan mereka dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan anggota.
“Sementara itu, maklumat berkaitan pemandu bas tidak dapat diperoleh kerana bas persiaran berkenaan telah meninggalkan lokasi kemalangan dipercayai bagi mengelak kesesakan jalan raya dan untuk membuat laporan polis berhubung kemalangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Khairul Azhar, kedua-dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan dan operasi berkenaan ditamatkan pada pukul 9.47 pagi. – UTUSAN ONLINE










