JEMPOL: Seorang bapa merayu anak perempuannya, Mimi Annisa Mohd. Zukry, 13, yang tiba-tiba menghilangkan diri sejak petang Sabtu lalu untuk pulang dan kembali ke rumah mereka di Rumah Awam Kos Rendah Air Hitam, di sini.
Mohd. Zukry Zakaria, 47, berkata, anaknya itu tidak pernah menghilangkan diri seperti itu dan sebagai bapa, dia berasa sangat bimbang dengan keselamatan anaknya itu lebih-lebih dua hari sudah tidak pulang ke rumah.
Menurutnya, susulan kehilangan berkenaan, mereka telah membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Hitam petang semalam dan membuat hebahan melalui media sosial komuniti setempat.
“Ada orang maklum nampak anak saya di Triang, Pahang pagi tadi dan saya terus bergegas ke lokasi berkenaan. Namun, rupa-rupanya, gadis berkenaan bukanlah anak saya dan rupanya lebih kurang sahaja dari gambar yang disebarkan kami di media sosial.
“Saya harap sangat agar jika anak saya terbaca berita ini dia akan pulang atau mana-mana individu yang ternampak anak saya akan dapat melaporkan terus ke balai polis terdekat atau menghubungi saya di talian 018-2952148,” katanya hari ini.
Sementara itu, Mohd. Zukry berkata, anaknya itu yang bertubuh kurus serta tinggi meminta kebenaran dari isterinya untuk keluar dari rumah sekitar pukul 4.30 petang, namun tidak dibenarkan keluar.
Menurutnya, isterinya itu kurang sihat kerana baharu sahaja selesai menjalani pembedahan kanser payudara.
“Anak saya dan ibunya memang rapat sebelum ini dan sentiasa menurut kata, namun sejak seminggu lalu anak berubah sikap gara-gara kenalan Instagram,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
“Polis telah menjalankan siasatan dan klasifikasi sebagai orang hilang (OH),” katanya.