BOGOTÁ: Colombia menemukan semula syiling emas dan gangsa, cawan porselin serta sebuah meriam dari kapal perang Sepanyol yang karam.
Artifak tersebut merupakan khazanah pertama yang ditemui dari bangkai kapal San José yang tenggelam di Laut Caribbean lebih 300 tahun lalu akibat serangan Tentera Laut Diraja Britain semasa Perang Suksesi Sepanyol.
Ketika itu, San José membawa emas, perak dan zamrud dari tanah jajahan Sepanyol di Amerika Latin untuk dihantar kepada raja Sepanyol.
Harta karun ini dipercayai bernilai berbilion dolar pada masa kini dan menjadi tumpuan pertikaian undang-undang antara kerajaan Colombia dan syarikat penyelaman marin AS, Sea Search-Armada (SSA).
Kerajaan Colombia menegaskan mereka menemui San José pada 2015 dengan bantuan saintis antarabangsa, namun SSA mendakwa menemui kapal karam itu pada awal 1980-an dan menuntut pampasan kira-kira AS$10 bilion, hampir separuh daripada nilai anggaran harta karun tersebut, di Mahkamah Timbang Tara Kekal.
Menteri Kebudayaan Colombia, Yannai Kadamani Fonrodona, menyifatkan penemuan itu sebagai “peristiwa bersejarah” yang menunjukkan kemampuan negara menjaga warisan kebudayaan bawah air.
Menurut Alhena Caicedo Fernández, pengarah Institut Antropologi dan Sejarah Colombia, penemuan ini membuka peluang rakyat mendekati sejarah galion San José melalui bukti material.
Kerajaan berkata, artifak yang ditemui menggunakan robot bawah air akan menjalani proses pemuliharaan yang panjang di makmal dan digunakan untuk penyelidikan arkeologi, memberikan gambaran tentang kondisi ekonomi, sosial dan politik Eropah awal abad ke-18.
San José merupakan sebahagian daripada armada Flota de Tierra Firme yang berlepas dari Peru pada 1707 membawa kargo diraja, tetapi karam di perairan Colombia setahun kemudian selepas berdepan tentangan tentera Britain. Penemuan ini dianggap penting bagi budaya dan identiti Colombia.










