IPOH: Kerajaan negeri mengumumkan bantuan khas kewangan RM1,000 kepada penjawat awam di negeri ini sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang terus komited memberi khidmat semasa wabak Covid-19.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembayaran akan dibuat seawal bulan depan.
“Setelah dua tahun mengharungi kehidupan bersama Covid-19, penjawat awam negeri tetap teguh dan komited sebagai pelaksana dalam memberi khidmat yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat.
“Sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang setia bersama, kerajaan negeri mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan kepada setiap penjawat awam negeri Perak RM1,000.
“Pembayaran ini akan dibuat seawal Januari 2022,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Menurut Saarani, selain itu, sebagai usaha meningkatkan kemudahan kepada penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri, tambahan dana sejumlah RM1.0 juta disediakan untuk Kumpulan Wang Pendahuluan Membeli Kenderaan.
“Tambahan dana RM1.0 juta juga disediakan untuk Kumpulan Wang Pendahuluan Diri (Pegawai Awam),” katanya. – UTUSAN ONLINE










