KRISIS jerebu rentas sempadan kembali menghantui Malaysia. Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melonjak ke tahap tidak sihat di beberapa negeri, memaksa lebih 900 sekolah di Selangor ditutup serta-merta, bermula Jumaat lalu.
Penutupan ini melibatkan lebih 60,000 guru dan hampir sejuta murid. Langkah drastik ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan awam, malah mengganggu pendidikan anak-anak yang terpaksa kembali kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Namun, di sebalik keresahan rakyat, suara kebanyakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di Malaysia kedengaran sepi.
NGO di Malaysia kini bukan lagi sekadar pengkritik pihak berkuasa, sebaliknya perlu berfungsi sebagai rakan strategik yang proaktif melalui pemantauan, cadangan penyelesaian dan bantuan kecemasan di lapangan.
Tiga peranan utama NGO dalam krisis jerebu termasuklah mendesak penyelesaian struktur dan perundangan seperti tindakan Greenpeace dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang konsisten menuntut penggubalan Akta Jerebu Rentas Sempadan; melaksanakan sains warga melalui sensor mikro komuniti untuk memantau zarah halus PM2.5 secara masa nyata; serta turun ke lapangan mengagihkan pelitup muka N95 kepada golongan gelandangan dan pekerja luar, selain menyediakan zon udara bersih berkomuniti.
Fenomena jerebu bukanlah sesuatu yang baharu. Bermula pada 1960-an sebagai isu domestik kecil, menjadi semakin serius menjelang 1963.
Krisis rentas sempadan pertama yang kritikal berlaku pada 1983 akibat El Nino dan pembakaran hutan di Indonesia.
Sejak itu, siri jerebu ekstrem memaksa kerajaan mengisytiharkan Darurat Bencana Jerebu apabila IPU melepasi paras bahaya.
Antara tragedi besar termasuklah darurat di Sarawak pada 1997 apabila IPU Kuching melonjak ke 860, di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang pada 2005 dengan bacaan melebihi 500, serta di Muar dan Ledang pada 2013 apabila IPU mencecah 746.
Pada 2015 pula mencatatkan krisis paling panjang, memaksa penutupan sekolah besar-besaran di seluruh Semenanjung.
Antara 2015 hingga 2025, jerebu beralih kepada episod bermusim yang lebih singkat tetapi kerap, tanpa pengisytiharan darurat baharu.
Bacaan IPU kekal bawah 500, namun tetap menjejaskan kesihatan awam dan pendidikan.
LINDUNGI KESIHATAN RAKYAT DAN ALAM SEKITAR
Greenpeace Malaysia bersama rakan strategik seperti SAM, Pantau Gambut dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) tampil lantang menyerahkan memorandum kepada Parlimen, mendesak Akta Udara Bersih, serta mendedahkan syarikat yang dikaitkan dengan titik panas kebakaran hutan di Indonesia.
Malah, bantahan di Kedutaan Indonesia menuntut ketelusan data konsesi tanah gambut.
Pendekatan ini jelas menunjukkan Greenpeace tidak melihat jerebu sebagai isu cuaca semata-mata tetapi sebagai pencabulan hak asasi manusia.
Hak untuk bernafas udara bersih dan hak kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan tanpa gangguan.
Sebaliknya, NGO pemuliharaan seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) kelihatan pasif.
Sejak 1940, MNS berperanan sebagai persatuan pemuliharaan berasaskan sains, lebih menumpukan kepada inventori kepelbagaian biologi, penerbitan jurnal dan melobi kerajaan secara tertutup.
Tindak balas mereka terhadap jerebu biasanya berbentuk kajian saintifik, bukan aktivisme jalanan.
Namun, peranan MNS tetap penting. Mereka boleh menjalankan kajian saintifik tentang kesan jerebu terhadap burung migrasi dan mamalia besar, mendesak kerajaan negeri mewartakan baki tanah gambut sebagai Hutan Simpan Kekal, bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan untuk pengurusan air tanah gambut, memanfaatkan jaringan Kelab Pencinta Alam (KPA) di sekolah untuk mendidik generasi muda, menuntut syarikat perladangan melaksanakan dasar Hijau Berkekalan, serta memperkasa komuniti setempat sebagai mata dan telinga mengesan pembakaran terbuka.
Ahli MNS yang aktif memerhati burung boleh melaporkan kesan jerebu terhadap avifauna.
Partikel PM2.5 merosakkan pundi udara burung, mencetuskan sesak nafas dan kematian. Jarak penglihatan terhad mengganggu navigasi burung migrasi, menjejaskan keupayaan memburu makanan, serta mengurangkan aktiviti kicauan sekali gus menjejaskan proses pembiakan dan kelangsungan populasi.
Dalam konteks serantau, Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) yang ditandatangani pada 2002 di Kuala Lumpur dan disahkan sepenuhnya oleh kesemua sepuluh negara anggota menjelang 2015, gagal dilaksanakan dengan berkesan. Greenpeace menegaskan bahawa kegagalan ASEAN menguruskan jerebu adalah kegagalan diplomatik yang membebankan rakyat Malaysia.
Pencemaran jerebu membawa implikasi kesihatan serius melalui zarahan halus PM2.5. Kesan jangka pendek termasuk mata pedih, batuk, sesak nafas dan sakit kepala.
Manakala kesan jangka panjang melibatkan risiko serangan jantung, strok, Penyakit Paru-paru Obstruktif Kronik (COPD), kanser paru-paru, serta menjejaskan tumbesaran kanak-kanak.
Dari sudut ekologi, jerebu menyebabkan kemusnahan habitat, kematian hidupan liar, gangguan navigasi burung migrasi, konflik haiwan-manusia dan kerosakan tumbuhan. Impak berantai ini mempercepat risiko kepupusan spesies kritikal.
Krisis jerebu bukan lagi isu bermusim yang boleh dipandang ringan, sebaliknya krisis hak asasi manusia, pendidikan, dan kelestarian alam sekitar.
Greenpeace membuktikan tindakan agresif mampu menarik perhatian Parlimen dan menekan korporat.
Namun, peranan NGO berasaskan pemuliharaan seperti MNS tetap penting untuk memastikan kesan jerebu terhadap kepelbagaian biologi dan ekosistem tidak diabaikan.
Malaysia memerlukan suara kolektif NGO yang lantang di jalanan, kukuh di Parlimen, teguh di lapangan saintifik dan hadir membantu masyarakat yang terkesan. Tanpa gabungan ini, jerebu akan terus menjadi krisis berulang yang meragut hak rakyat untuk bernafas, belajar, dan hidup dalam alam sekitar yang sihat.
NGO mendesak pihak berkuasa selesaikan segera isu jerebu dan tidak berulang lagi. –UTUSAN
PROFESOR Dr. Ahmad Ismail ialah Presiden Persatuan Ekologi Malaysia.











