Banjir: Katil, tilam kehabisan stok - Utusan Malaysia

Banjir: Katil, tilam kehabisan stok

FATIN Nadihah Shamsol menunjukkan stok tilam yang mula kehabisan di kedai perabotnya di Padang Jawa, Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Katil dan tilam antara barangan keperluan yang kehabisan stok berikutan me­nerima permintaan tinggi mang­sa banjir di sekitar bandar raya ini dan Klang.

Keadaan itu menyebabkan peniaga kedai perabot kini terpaksa membuat tempahan dari negeri lain sehingga mencecah tempoh dua minggu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa kedai di Padang Jawa dan Seksyen 7 di sini, masih dipenuhi penduduk yang mahu membeli katil serta tilam.

Antara yang turut habis dijual iaitu tikar getah, kabinet dapur, rak pinggan mangkuk dan rak baju.

Pembantu Kedai Perabot Nabilah, Fatin Nadihah Shamsol, 28, berkata, pihaknya menerima hampir 300 orang pelanggan setiap hari sejak Isnin minggu lalu.

“Mereka terdiri daripada mangsa banjir terjejas teruk dan mahu membeli katil serta tilam yang dianggap keperluan utama ketika ini. Setakat ini, semua barangan itu sudah habis dijual dan syarikat kami perlu menunggu stok tempahan baharu dari kilang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, set katil dan tilam itu dijual pihaknya dengan harga RM250 ke atas termasuk diskaun khas sehingga 30 peratus hanya untuk mangsa banjir termasuk dari Klang.

Bagi pembantu kedai Modern Home Lifestyle Sdn. Bhd., Md. Shah Alam, 28, jumlah pelanggan kini meningkat hampir 300 peratus berbanding kebiasaannya.

“Sejak 22 Disember lalu, saya menerima lebih 50 pelanggan sehari yang rata-ratanya membeli katil dan tilam.

“Jumlah permintaan sememangnya masih tinggi sehingga kini dan kami perlu membuat tempahan dari Johor,” katanya.

Sementara itu, penduduk Padang Jawa, Shahrain Ajis, 35, berkata, mangsa banjir kini ha­nya mampu membeli katil dan tilam yang harganya tidak terlalu mahal.

“Bagi saya, barangan itu sememangnya menjadi keutamaan untuk kami sekeluarga berehat selepas penat mengemas rumah.

“Walaupun terbeban, kami terpaksa menghadapinya dan berterima kasih kerana masih diberi potongan harga oleh kedai perabot,” kata bapa kepada dua anak itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN